“Aku bagitau suami, aku lari ikut ex sekali jam 4 pagi dia terus balik dari outstation sekali dia tampar aku”.
BEBERAPA keratan gambar di laman sosial yang memaparkan pasangan suami isteri bergurau dalam soal jatuh talak dan cerai tular baru-baru ini.
Kes pertama melibatkan suami melafazkan talak kepada isteri dengan niat hanya mengikuti skrip yang disebutkan oleh pelakon drama.
Situasi kedua memaparkan seorang isteri bergurau tentang kecurangannya supaya suami segera pulang ke pangkuan.
Isteri bergurau kepada suami tentang kecurangan.
Dalam sebuah hadis ada dinyatakan tentang ancaman kepada mereka yang menipu dengan niat untuk bergurau senda.
Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis:
“Tiga perkara yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dianggap bersungguh-sungguh dan yang dilakukan dengan bergurau (main-main) dianggap bersungguh-sungguh juga iaitu nikah, talak dan rujuk.” [HR Tirmizi, 1184]
Hadis ini menjelaskan larangan bermain-main dalam tiga perkara di atas. Hal ini kerana gurauan terhadap tiga perkara itu akan dinilai sebagai maksud asal perkataan tersebut tanpa dikira niat untuk bergurau.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu sedar dan tahu batas gurauan dalam agama. Ajaran Islam tidak sesekali melarang gurauan secara umumnya. Bahkan, Rasulullah sendiri bergurau dalam kehidupan sehariannya.
Dr Nur Mohammad Hadi memberikan teguran mengenai gurauan melampaui batasan di antara suami isteri.
Namun, tidak semua perkara boleh diguraukan.
Dalam sebuah hadis direkodkan tentang ancaman baginda kepada mereka yang menipu dengan niat untuk bergurau senda.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Celakalah sesiapa yang berkata dusta untuk membuat orang ketawa, celakalah dia, dan celakalah dia.” [HR Abu Daud, 4990]
Sebenarnya terdapat beberapa etika bergurau di antara suami isteri yang seharusnya diaplikasikan khususnya bagi menjadikan komunikasi antara kedua-duanya berkesan sekali gus membentuk hubungan yang kekal berada dalam kasih sayang.
Islam tidak membenarkan untuk menipu walaupun ketika bergurau. -Gambar hiasan
1) Bercakap perkara benar
Sekalipun hanya bergurau senda, pasangan mestilah bercakap perkara yang benar. Benar bermaksud jelas dalam membezakan antara perkara hak dan batil.
Ini kerana pembohongan mampu merosakkan kepercayaan seseorang kepada individu yang lain. Bahkan, sekiranya melibatkan hal perasaan pastinya akan meruntunkan jiwa.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.” [Surah al-Ahzab, ayat 70]
2) Melafazkan perkataan yang memberi kesan positif kepada jiwa
Gurauan antara suami dan isteri mestilah sesuatu yang mampu menyuburkan lagi kasih sayang antara kedua-duanya.
Meskipun dalam keadaan ketika tegasnya seorang suami, ia mestilah disusuli dengan perkataan baik kepada isteri setelah mentaatinya.
Allah SWT berfirman:
“Mereka itu adalah orang-orang yang (sesungguhnya) Allah mengetahui apa yang ada di dalam hatinya. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka nasihat, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang membekas pada jiwanya.” [Surah al-Nisa, ayat 63]
Umat Islam digesa untuk bercakap dengan lemah lembut. -Gambar hiasan
3) Berbicara dengan perkataan yang lembut
Hubungan akrab bukan lesen untuk bercakap menggunakan perkataan yang keras dan kotor. Pertuturan antara kedua-duanya mestilah dihiasi dengan cahaya iman.
Suatu ketika Nabi Muhammad SAW menasihati Aisyah RA seperti yang dinyatakan dalam hadis:
“Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah akan memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” [HR Muslim, 4697]
Kesimpulannya, ikatan perkahwinan yang dibina bukanlah hanya melibatkan perjanjian antara kedua-dua keluarga tetapi juga bersaksikan Allah SWT sebagai tujuan sesebuah ikatan terjalin.
Lebih bahaya lagi apabila gurauan seperti melafazkan talak ini akan memberi kesan kepada status keabsahan hubungan antara suami isteri. Tuntas, santunilah pasangan kita dengan penuh kebaikan dan kerahmatan.
Semoga kita semua sentiasa saling beringat dan menjaga tutur kata sehingga tidak meletakkan diri dalam lembah kerugian disebabkan lidah yang berbicara.
BACA:
“Tiada laluan istimewa walaupun penceramah itu dikenali popular” – Pengerusi MAIS
Apa akan jadi kalau bina kondo baru di kawasan Highland Tower? Ini jawapan pakar