Aku pinjam Ah Long RM1,000 je, tapi dia punya faedah sampai RM19,000

Aku pinjam Ah Long RM1,000 je, tapi dia punya faedah sampai RM19,000. Dua kereta musnah terbakar, rumah disimbah cat merah, malah sudah membayar RM16,500 bagi pinjaman yang asalnya didakwa tidak sampai RM1,000.

Itu antara ancaman dihadapi keluarga Heng Hang Lim, 41, daripada ceti haram selepas abang sulungnya meminjam SGD300 (RM984) daripada along pada Jun lalu.

Dia difahamkan ceti haram mendesak abangnya berusia 42 tahun berkenaan membayar pinjaman secara ansuran, iaitu SGD100 (RM328) selama 24 bulan.

“Bagaimanapun abang hanya bayar sebahagian wang diminta dan kemudian, keluarga kami yang tiada kaitan dengan urusan pinjaman itu jadi sasaran mereka.

“Saya, isteri bersama dua anak serta seorang anak saudara tinggal bersama di kediaman keluarga di Taman Medan Jaya, Kota Tinggi. Kami teraniaya dan terpaksa menjalani kehidupan dalam ketakutan, panggilan telefon daripada individu tidak dikenali dari Singapura dan rumah diancam berulang kali.

“Pada 19 Julai lalu, kediaman kami dibaling ‘molotov cocktail’ hingga dua kereta keluarga musnah terbakar, iaitu Perodua Myvi dan Kia Carnival serta mengakibatkan kerugian RM130,000. Mujur ketika itu semua sempat menyelamatkan diri keluar rumah mengikut pintu belakang,” katanya.

Ketika kejadian pada tengah malam itu, Hang Lim memberitahu, dia keluar bekerja di Singapura dan terkilan apabila dihubungi isterinya bagi memaklumkan perkara itu.

“Saya sudah buat laporan polis sebanyak tiga kali, masing-masing 19 Julai dan 16 serta 19 Disember di Balai Polis Kota Tinggi,” katanya.

Katanya, dia didesak membayar kadar faedah pinjaman didakwa mencecah SGD5,800 (RM19,000) dan tanpa berfikir panjang membuat bayaran RM16,500 pada 16 Disember lalu dengan harapan tiada lagi gangguan.

“Namun mereka tak berhenti menganiaya kami. Rumah disimbah cat 19 Disember lalu, selain ditampal notis berbaur ugutan meminta wang. Saya buat laporan polis kerana tidak mahu bertanggungjawab atas hutang abang. Saya rela memutuskan hubungan dengannya kerana tidak sanggup lagi dianiaya,” katanya.

Hang Lim yang memiliki dua cahaya mata berusia satu dan tiga tahun, selain menyara anak lelaki abang sulungnya berusia 13 tahun dan khuatir ceti haram mengulangi perbuatan tidak bertanggungjawab, mengadu masalahnya kepada Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.

Sementara itu, Jimmy berkata, kes berkaitan ceti haram kerap berulang dan masih tiada penyelesaian, malah mangsa yang diuruskannya biasanya tiada kaitan dengan pinjaman yang dibuat.

“Saya tak tolak kemungkinan sindiket ceti haram di Singapura turut ada kaitan dengan ceti haram di negara ini. Mereka mungkin guna nombor telefon berdaftar di Singapura bagi mengelak diburu polis,” katanya berharap kegiatan sedemikian ditangani pihak berkuasa berkiatan secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan kes terbabit dan siasatan masih dijalankan.

BACA JUGA :

Shahrir Samad bebas kes pengubahan wang haram RM1 Juta

Lama berdiam diri, akhirnya coach Bola Tampar cerita keadaan sebenar isu tampar murid

Ramai puas hati Mydin jawab macam ni kepada Azwan Ali, “celupar sangat!”

CATEGORIES