Amanah Gombak tuntut tubuh jawatankuasa khas tangani isu-isu berkaitan pendidikan sewaktu PKP

Amanah Gombak tuntut tubuh jawatankuasa khas tangani isu-isu berkaitan pendidikan sewaktu PKP

20 Januari 2021, sesi persekolahan bagi calon Peperiksaan Awam yang tertangguh dilaksanakan secara bersemuka.

Semua calon-calon diminta untuk pulang ke asrama masing-masing sebelum tarikh tersebut.

Malangnya setelah beberapa hari sekolah secara bersemuka dilaksanakan, terdapat sebilangan calon SPM dijangkiti pandemik Covid-19 di asrama mereka.

Kesemua calon asrama tersebut terpaksa dikuarantin dalam tempoh yang disyorkan oleh KKM.

Pastinya dengan pelaksanaan ini proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah tersebut terganggu.

Ia dilihat membimbangkan apabila tarikh peperiksaan awam ini semakin dekat.

Lebih membimbangkan lagi pandemik ini boleh menular keseluruh sekolah melibatkan calon lain, guru dan staf sokongan.

Ini semua berkaitan dengan ketidakseragaman SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Persoalan yang lebih asas ialah apakah mekanisme dan perancangan yang diambil oleh KPM jika ada pusat peperiksaan yang dijangkiti pandemik Covid-19? Adakah peperiksaan akan ditangguh? Atau ada solusi lain.

Hari pertama persekolahan secara dalam talian atau Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) juga menyaksikan kesukaran semua murid untuk menyertainya dengan keadaan jalur lebar yang perlahan dan aplikasi yang tidak mesra murid.

Ada murid yang terpaksa berada di kawasan tertentu semata-mata untuk mengakses PdPR ini.

Begitu banyak isu berbangkit tentang pelaksanaan pendidikan dengan norma baharu.

YB Menteri Kanan Pendidikan dicadangkan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh semua pihak termasuk Ahli Parlimen Pembangkang berlatar belakangkan pendidikan dan NGO yang berperanan melihat isu pendidikan lebih dekat.

Jawatankuasa ini berperanan mencari solusi yang terbaik untuk melaksanakan pendidikan norma baharu termasuk perlaksanaan SOP di sekolah yang lebih tersusun.

Semua pemimpin diseru mengenepikan kepentingan politik dan ego masing-masing demi memastikan murid-murid kita tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Oleh
Syazmir Hariz Bin Noorazalan
Penulis Politik – Tinta Siyasah
Ketua Komunikasi AMANAH Gombak

FB