Amanah tak lupa jasa Anwar namun calon PM perlu cukup sokongan

Amanah tak lupa jasa Anwar namun calon PM perlu cukup sokongan

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador dianggap sebagai tidak matang apabila menggelar rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) tidak mengenang budi berhubung pendirian mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) kesembilan.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menegaskan, AMANAH sama sekali tidak pernah melupakan jasa Presiden PKR itu.

Malah katanya, ahli Parlimen AMANAH jugalah yang bersama PH mencadangkan Anwar sebagai PM kelapan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 26 Februari lalu.

“Namun, situasi sekarang berbeza dan itulah dinamika politik. Keputusan untuk mengambil semula pentadbiran di Putrajaya adalah penting agar tadbir urus baik dapat dikembalikan.

“Lebih penting, agenda pemulihan ekonomi dapat diteruskan, perjuangan membela rakyat dipertahankan dan prinsip integriti juga keadilan ditegakkan,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Terdahulu, Farhash meluahkan kekecewaannya dan berkata, DAP dan AMANAH harus menyatakan pendirian untuk bersama-sama Anwar yang selama ini teguh bersama mereka.

Katanya, selama ini Anwar berdepan pelbagai cabaran dan tohmahan sehingga dilabel terlalu liberal kerana kesetiaan terhadap hubungan baik dengan DAP.

“Berhentilah bersikap terdesak. Inikah cara kamu bayar harga sebuah setiakawan yang dibina lebih 20 tahun?

Farhash Wafa Salvador

“DAP dan AMANAH sepatutnya berdiri teguh di belakang seorang lelaki yang bersama-sama mereka selama ini,” kata Farhash dalam satu kenyataan semalam.

Membuka laluan

Mengulas lanjut, Faiz yang juga Adun Permatang Pasir itu berkata, bagi membolehkan PH membentuk kerajaan semula, calon PM perlulah mampu mendapat sokongan lebih ramai ahli Parlimen yang bukan daripada gabungan sendiri.

Ini kerana katanya, ahli Parlimen PH hanyalah sekitar 92 orang dan tidak cukup untuk membentuk kerajaan mengikut peruntukan dalam Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, di sini timbul cadangan supaya Tun Mahathir dicalonkan sebagai PM dan Anwar sebagai TPM kerana dikatakan sokongan kepada Tun Mahathir melebihi jumlah 112 jika PH memberikan sokongan sepenuhnya.

“Namun, ini bukanlah bermakna AMANAH tidak mencalonkan Anwar sebagai PM.

“Tempoh menjadi TPM inilah masa paling sesuai untuk Anwar mengumpul lebih banyak sokongan ahli Parlimen dan meraih kembali kepercayaan rakyat kepada PH.

“Tempoh menjadi TPM inilah masa paling sesuai untuk Anwar mengumpul lebih banyak sokongan ahli Parlimen dan meraih kembali kepercayaan rakyat kepada PH.

“Ia akan membuka laluan kepada Anwar diangkat sebagai PM dengan lebih mudah dan licin,” kata Faiz yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu.

Pada masa ini, PH Plus (PH+) dikatakan masih buntu untuk mencapai persetujuan mengenai calon PM sama ada Mahathir atau Anwar.

Anggota PKR dikatakan sukar untuk memberi kepercayaan kali kedua kepada Mahathir selepas banyak tindakan yang dianggap sabotaj terhadap parti itu khususnya kepada Anwar sejak PRU-14.

Namun, DAP mendedahkan perbincangan PH Plus menyaksikan Warisan menolak cadangan Anwar sebagai PM manakala Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Warisan ketika ini juga hanya bersetuju memilih Mahathir sebagai PM kerana percaya Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan itu boleh meraih sokongan ahli Parlimen yang lain untuk membentuk majoriti.

Dalam pada itu, Faiz mengingatkan agar PH segera memutuskan calon PM kesembilan agar ahli mengetahui arah tuju blok politik itu dalam usaha mendapatkan kembali kerajaan Persekutuan.

Keputusan tersebut katanya, perlu dibuat secara bersama memandangkan kekuatan yang ada pada PH adalah kemampuan membuat keputusan secara konsensus dan kesepaduan itu perlu diteruskan.

Menurut peguam berkenaan lagi, semakin lama isu peralihan kuasa itu berlarutan maka lebih lama kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus berkuasa.

“Jika benar kita menentang kerajaan pintu belakang yang telah merampas mandat rakyat ini, pimpinan PH perlu segera selesaikan isu ini supaya mandat rakyat dikembalikan,” ujar Faiz lagi.

Sebelum ini, sayap Pemuda AMANAH mahukan agar Mahathir dan Anwar berada dalam satu Kabinet PH Plus memandangkan kelebihan yang dimiliki kedua-dua tokoh tersebut.

Penganalisis politik dan bekas kolumnis akhbar Mingguan Amanah, Ahmad Lutfi Othman pula menyifatkan bukan isu siapa boleh menjadi PM terbaik sebaliknya siapa yang boleh mendapat cukup jumlah sokongan.

Beliau berpendapat tiba giliran dan tanggungjawab Mahathir untuk mendapatkan kembali kerajaan selepas Ahli Parlimen Langkawi itu ‘ditendang’ keluar tanpa perancangan pada Februari lalu.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/amanah-tidak-lupa-jasa-anwar-calon-pm-mesti-mampu-raih-lebih-ramai-sokongan-mp/