AMANAH tumpu lahirkan ahli beretika dan berintegriti – Siti Mariah

AMANAH tumpu lahirkan ahli beretika dan berintegriti – Siti Mariah

Biro Integriti Parti Amanah Negara (AMANAH) telah mengikuti Kursus Etika dan Integriti (Ethics and Integrity Training Programme) selama 2 hari pada 19 September 2020 – 20 September 2020 di Institut Integriti Malaysia (IIM), Kuala Lumpur:

AMANAH merupakan parti politik pertama yang menghantar ahli-ahlinya untuk mengikuti kursus latihan dengan Institut Integriti Malaysia yang terletak di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk mendalami isu etika dan integriti dalam usaha menyediakan ahli-ahli AMANAH menjadi aktivis beretika dan berintegriti supaya menjadi orang politik yang berwibawa dan menjauhi rasuah.

AMANAH mengambil iktibar politik Malaysia yang semakin dikuasai oleh ahli politik dan pemimpin negara yang semakin tidak beretika, mengkhianati amanah dan terlibat dengan rasuah. Sekiranya ini terus berlaku, hasrat Malaysia untuk membersihkan nama dari sebuah negara yang tinggi kadar rasuah, ke sebuah negara yang berintegriti tinggi, tidak akan kesampaian. AMANAH bimbang dengan senario politik negara dengan tindak-tanduk sesetengah ahli politik yang terlibat dengan “lompat parti” hanya kerana mendapat tawaran kuasa, jawatan dan wang.

Biro Integriti di bawah pentadbiran Naib Presiden, YB Dr Siti Mariah Mahmud bertekad untuk mewujudkan satu “Code of Conduct” sebagai panduan kepada ahli-ahli parti agar tidak terkeluar daripada landasan perjuangan AMANAH sebagai sebuah parti politik yang membawa slogan Amanah, Progresif, Peduli selain mengekalkan kestabilan negara tanpa kerenah ahli politik yang tidak beretika dan tidak berintegriti.

5. AMANAH juga menyeru agar parti-parti politik yang lain untuk turut mengikuti kursus etika dan integriti ini bagi mewujudkan kesedaran nilai etika dan integriti dalam kalangan ahli dan aktivis politik. Budaya lompat parti, jual-beli ahli politik, rasuah, penyelewengan wang dan salah guna kuasa terjadi kerana kurangnya terapan nilai integriti di dalam pembinaan jati diri di kalangan ahli-ahli politik.

AMANAH berharap agar Institut Integriti Malaysia dapat kekal menjadi sebuah platform rentas parti bagi parti-parti politik menjalani kursus berkaitan kenegaraan dan soal integriti.

AMANAH juga berharap kerajaan akan memberi peruntukan kepada IIM dan GIACC untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada aktivis muda politik dan mungkin juga boleh mensyaratkan calon- calon pilihanraya menjalani dan lulus kursus-kursus berkaitan etika dan integriti kerana mereka bakal menjadi pemimpin negara di masa hadapan.

YB Dr Siti Mariah Mahmud
Naib Presiden,
Pengerusi Biro Integriti
Parti AMANAH Negara