AMK : Tidak ada pihak lebih berkuasa tentukan berapa kerusi PKR tanding

AMK : Tidak ada pihak lebih berkuasa tentukan berapa kerusi PKR tanding

Pemuda PKR (AMK) Sabah menafikan dakwaan bahawa parti itu hanya akan diberikan tiga kerusi tambahan untuk ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Sebaliknya, Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin berkata PKR akan meletakkan lebih ramai calon pada PRN berkenaan.

“Saya ingin memperbetulkan beberapa kenyataan seorang penganalisa politik, antaranya dakwaan Keadilan hanya akan ‘diberi’ tiga kerusi tambahan.

“Di sini saya ingin menegaskan tidak ada pihak yang lebih berkuasa sehingga Keadilan perlu mengharapkan agar diberikan kerusi, sebaliknya Keadilan telah bersedia meletakkan calon di lebih banyak kerusi berbanding sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Sinar Harian memetik pandangan penganalisis politik, Dr Jeniri Amir yang mengatakan PKR berkemungkinan hanya memperoleh tambahan tiga kerusi Dun.

Dr Jeniri berkata, jumlah tersebut mengambil kira prestasi tidak memuaskan PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di negeri itu dan PKR hanya menang dua kerusi Dun berbanding sembilan kerusi yang ditandingi parti itu.

“Pada PRU14, sebanyak 60 kerusi dipertandingkan dan dalam PRN Sabah kali ini, ada 13 kerusi Dun tambahan.

“Saya jangka PKR hanya diberikan tambahan tiga kerusi kerana ia perlu diagihkan kepada parti dalam gabungan parti kerajaan negeri.

“Selain itu, melihat kepada prestasi PKR yang tidak bagus pada PRU14 dan selepas perpecahan dalaman, PKR sekarang boleh dikatakan semakin lemah,” ujarnya kepada akhbar itu semalam.

Laporan itu juga memetik pandangan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi daripada Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis bahawa PKR tidak akan mampu memenangi PRN Sabah tanpa pakatan strategik dengan parti tempatan lain termasuk DAP.

Malah katanya Pakatan Harapan (PH) juga tidak wujud di Sabah.

Bagaimanapun, Razeef menyangkal dakwaan berkenaan.

“Pakatan Harapan Sabah telah wujud seawal 2016 dan secara rasmi pada 2017. Malah saya sendiri diberikan amanah sebagai Setiausaha Sekretariat Pemuda Pakatan Harapan Sabah pada Februari 2017.

“Soal logo juga Pakatan Harapan sudah dikenali umum di Sabah namun jika ia digunakan maka Warisan akan dipandang sebagai sebuah blok ketiga yang kecil.

“Maka demi menjaga hubungan antara parti kita memutuskan untuk menggunakan logo sendiri,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah kerusi yang diperuntukkan untuk ditandingi PKR pada PRN Sabah akhir bulan ini ‘sangat kecil’.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu.

Saifuddin juga berkata isu pembahagian kerusi akan dimuktamadkan sebelum penamaan calon Sabtu depan bersama parti-parti dalam PH bagi mengelakkan sebarang pertindihan atau perebutan kerusi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/541640