Di awal tahun-tahun 1980an, ceramah Haji Hadi telah membakar semangat jihad ke dalam diri, semangat untuk berjuang di jalan Allah, sedia mengorbankan harta-benda, darah dan nyawa telah meresap ke dalam urat nadi setiap orang PAS.
“Sudara-sudara sekelian, percayalah! Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO! Kita menentang Barisan Nasona, bukan kerana dia nama Barisan Nasona…! Kita menentang dia, ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah! Mengekalkan undang-undang penjajah! Mengekalkan peraturan kafir! Mengekalkan peraturan jahiliyah! Oleh kerana itulah kita menentang mereka! Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka! Oleh kerana itulah, kita berjuang berlawan dengan mereka! Percayalah, sudara-sudara sekelian! Perjuangan kita adalah jihad! Ucapan kita adalah jihad! Derma kita adalah jihad! Dan kalau kita berlawan dengan puak-puak dia, dan kalau kita mati kerana jasa melawan dia, mati kita adalah mati syahid…..!”
Kita yang dengar ni semangat bukan main. Oleh sebab dia kata mengekalkan perlembangaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah bagai, kita pun percaya Mahathir, Musa Hitam, Ghafar Baba dan semua pemimpin UMNO waktu itu kapir belaka. Mula-mula. Lepas tu? Kalau perdana menteri kapir, kita nak buat apa..? Kalau menteri-menteri semua kapir, kita nak perang guaner dengan mereka? Kita duduk di Marang, naik bas sampai Dungun pun muntah.
Lepas tu start ijtihad sendiri lah. Kalau Mahathir dan semua menteri kapir, sebab UMNO mengekalkan undang-undang penjajah, maknanya Wan Mokhtar Menteri Besar Tranung pun kapir. Semua wakil rakyat sona kapir belaka, sebab semuanya UMNO belaka. [Sona ialah gelaran untuk orang Barisan Nasional].
Kita kena lawan UMNO tempat kita lah. Maknanya Tengku Zahid pun kapir. [Tengku Zahid ialah wakil rakyat Dun Marang penggal 1978-1982]. Lepas tu…? Siapa yang sokong Tengku Zahid…? Tok Imam semejid baru…? Tok Imam pun kapir. Eh, takkan tok imam sorang je kapir, tak boleh jadi. Semua orang yang sokong tok imam kapir lah. Maknanya semua orang yang semayang di semejid baru berimamkan tok imam kapir, semuanya kapir. Lepas tu semua orang yang sokong BN dipercayai telah kapir. Last sekali, semua orang yang tak pernah pergi ke Masjid Rusila hari Jumaat, dicop sebagai orang sona, dan mereka semuanya telah kapir, gugurlah syahadahnya, rosaklah akidahnya, dan terkeluarlah mereka dari Islam.
Bila sudah terkeluar dari Islam, maka segala ibadatnya tidak sah. Solatnya tidak sah. Kalau dia jadi imam, makmum yang solat di belakangnya semuanya tidak sah belaka. Sebab semuanya kapir. Sebab semuanya menyokong kerajaan sona, mereka tak pergi Rusila, bermakna merka menentang perjuangan Islam. Kalau dia sembelih ayam atau lembu atau kambing, sembelihannya tidak sah. Semuanya jadi bangkai. Haram dimakan. Kalau akad nikah dengan tok kadi orang sona, ijab kabul itu tidak sah. Sebab tok kadi telah kapir, sebab menolak Islam yang bawa oleh Haji Hadi. Lalu tubiklah fatwa baru yang disebarkan di surau, atas wakaf, atas bangsal pukat, atas jeti; fatwa itu berbunyi : “Sesungguhnya sia-sialah semayang, puasa, zakat, haji, dan semua ibadat bagi orang-orang yang menolak perjuangan Islam. Gugurlah syahadahnya, maka semua ibadatnya Allah tak terima.”
Maka berlakulah kafir-mengkafir dalam masyarakat. Berlakulah solat dua imam. Berlakulah pemulauan terhadap kenduri kahwin. Dan ada juga berlaku perceraian antara laki-bini.
Orang-orang UMNO, dan orang-orang yang tidak berparti dan tak pernah nampak muka di Rusila, yang semuanya dianggap kapir, ada di antara mereka yang berkata : “Takkan sebab politik kita nak pecah-belah, takkan sebab politik semayang jadi tak sah, kita semayang sebab ugama, PAS tu parti politik je, mana boleh campur-aduk, agama suku politik suku….”
Lalu keluarlah fatwa baru dalam ceramah Haji Hadi : “Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku……!”
Ambik nak…! Sesiapa yang kata ugama suku politik suku, dia jadi kapir. Siapa kata…? Haji Hadi kata. Haji Hadi ulamak besar. Kita wajib percaya dan wajib ikut dia. Sesiapa yang tak sokong Haji Hadi semuanya jadi kapir, terkeluar dari Islam.
Ada juga ustaz-ustaz sona yang jawab, mana boleh tuduh orang lain kapir. Dibacakan hadis nabi, sesiapa yang menuduh saudaranya kafir, kalau tuduhan itu tidak benar, maka kekafiran itu berbalik kepada yang menuduh.”
“Ustaz sona baca hadis, hahahaha!” nya pakat suka wat nganjing je. Ni jawapan kita : “Memanglah kalau orang tu Islam, kita tuduh dia kapir, kita yang jadi kapir. Tapi kalau orang tu dah terang-terang kapir, terang-terang sokong UMNO yang menentang Islam, kalau kita kata dia tak kapir, kita yang kapir! Kalau terang-terang sokong UMNO, kalau terang-terang kata ugama suku politk suku, kita wajib kata dia kapir. Haram bagi kita semayang dengan dia.”
Ambik nak..!! koho ganas.
Memang suasana itu tidak wujud lagi sekarang, tetapi harus diingat, orang-orang PAS yang ada sekarang adalah terdiri dari anak-anak dan cucu-cucu golongan PAS di zaman itu yang mewarisi fikrah takfiri yang dipelopori oleh bapa-bapa dan tok-nenek mereka. Mentelah pulak Haji Hadi masih hidup lagi sekarang. Walaupun lanskap politik telah berubah, fikrah itu tidak hilang dan tetap diimani sampai sekarang, iaitu menuduh sesiapa saja yang mereka tak suka sebagai kafir.
Kalau dulu mereka mengkafirkan orang UMNO, tetapi sekarang mereka anggap UMNO dah masuk Islam sebab dah berbaik dengan PAS, jadi sekarang mereka mengkafirkan orang Amanah pula. Memanglah lidah mereka tidak menyebut si polan bin si polan kafir, tetapi dalam hati mereka tetap berpegang dan sangat percaya bahawa orang Amanah (yang digelar PANG) adalah kapir, munafik, musuh Allah, mengkhianati perjuangan Islam.
Kalau tak percaya, boleh test… Pergilah orang Amanah di surau atau masjid di Terengganu try jadi imam solat… Tengoklah berapa orang yang akan ikut jadi makmum, semua pakat lari… dan dengarlah fatwa karut mereka serta sumpah seranah mereka mengutuk orang Amanah, semuanya atas nama Agama… Mencarut pun kerana agama.
Semoga status ini turut dibaca oleh anak orang UMNO yang ayah-ayah mereka masak dikafirkan oleh orang PAS di zaman dulu… Tu, Haji Hadi yang ajar kami kapirkan ayah mu dulu tu hidup lagi… Dia tak pernah tarik balik pun amanat dia, nak minta maaf jauh sekali.
AAM