Annuar Musa berhasrat bentuk gabungan parti politik termasuk Pejuang dan Warisan

Annuar Musa berhasrat bentuk gabungan parti politik termasuk Pejuang dan Warisan

Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN), Annuar Musa mencadangkan pembentukan gabungan politik besar (grand coalition) membabitkan parti-parti politik yang menolak Pakatan Harapan (PH).

Katanya, sudah terlalu lama politik negara berlegar di sekeliling dua tiga personaliti bagi mempertahan atau menentang individu tertentu.

“Cukup-cukuplah. Malah penyatuan ummah tidak harus terbatas setakat Umno, PAS, Bersatu.

“Saya ingin menganjurkan pembentukan suatu grand coalition yang melibatkan sekurang-kurangnya 12,13 parti politik yang sealiran,” katanya di Facebook hari ini.

Annuar mencadangkan muafakat besar itu melibatkan BN, Perikatan Nasional (PN) termasuk anggota Muafakat Nasional (MN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkan menunjukkan kerjasama berkesan dalam kerangka PN.

Selain itu, dia turut mengundang parti-parti bebas atau yang menolak PH untuk menyertai gabungan besar yang dimaksudkannya.

Dia menamakan parti Pejuang yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Warisan, parti Muda yang diasaskan ahli parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Berjasa, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Parti Makkal Sakti Malaysia, Parti Cinta Malaysia (PCM) dan lain-lain.

“Yang penting kita tinggalkan politik yang berlegar sekeliling personaliti, dan kita semarakkan politik penyatuan ummah yang mendahulukan kestabilan, ketahanan nasional dan kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Ahli parlimen Ketereh itu dalam kenyataan sama turut merujuk harapan timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memeterai kerjasama rasmi triparite (tiga pihak) antara Umno, PAS dan Bersatu.

Katanya, hal itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional pada 18 Nov ini.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/551084