Anwar diharap dapat terus penuhi harapan dan cita-cita rakyat

Anwar diharap dapat terus penuhi harapan dan cita-cita rakyat

SUATU kebimbangan yang telah lama bersarang dihati saya, mengenai Anwar Ibrahim seakan mungkin menjadi kenyataan apabila membaca laporan interview beliau dengan media Australia The Age dan Sydney Morning Herald yang dipetik, beliau sebagai berkata sedia menerima hakikat kalau beliau tidak akan jadi perdana menteri.

Saya bimbang dan hati jadi terbata-bata dengan kenyataan itu. Selama ini terfikir dalam hati saya, akhirnya Anwar suatu hari akan pasrah juga dengan cita-citanya itu untuk jadi perdana menteri kerana tidak tahan dengan segala macam pancaroba dan ranjau yang ditahan kepadanya dan beliau terpaksa dilalui dengan begitu getir.

 

Mudah-mudahan kenyataan beliau itu dari konteks berbeza dengan saya fahami.

Saya cukup walang dengan kemungkinan itu. Pengharapan rakyat kepada beliau sungguh besar sekali. Tidak ada seorang tokoh di Malaysia yang membayar harga sebuah perjuangan sebesar yang beliau lakukan untuk dapat kerusi PM, melainkan beliau, tetapi malangnya ia masih belum sampai-sampai. Kelamaan itu dan pencaroba itulah dibimbangi saya menyebabkan beliau akan pasrah atau mengaku kalah.

Baik Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan terbaru, Muhyiddin Yassin tidak perlu melalui kepahitan sesuku pun daripada apa dilalui Anwar, tetapi mereka sudah tercatuk di kerusi berkenaan. Apakah pengisian jawatan untuk kerusi nombor satu itu tidak perlu melalui perjuangan seperti Anwar?

Mungkin kenyataan diluahkan Anwar seperti dipetik itu, ia menggembira sebahagian orang lain, oleh golongan membenci dan mendendaminya baik kerana karektornya atau pun kerana soal peribadi, atau pendekatan politiknya. Tetapi ia tidak dengan orang-orang seperti saya yang lebih melihat kelayakan dan keistimewaan bakat beliau. Mereka yang mendambakan Anwar jadi perdana menteri kerana beliau mempunyai kelayakan cukup dan sempurna segala aspek, pengalaman dan ilmu terasa kecewa dan bimbang dengan kenyataan itu.

Diukur dari keseksaan dan penderitaan sepanjang berpolitik semua tidak dapat melawannya, di penjara dua kali, dihadap ke mahkamah beratus kali. Difitnah, dikurung, ditumbuk dan sebagainya. Kerana itu jika tidak salah apa yang menimpanya itu boleh dianggap beliau adalah politis Malaysia yang bertaraf  “Ulul azmi”.

Kebimbangan meladumi jiwa, kerana mana tahu tanpa diberi tahu kepada kita kalau diam-diam beliau terpaksa mengambil keputusan yang berat itu, undur daripada mengimpikan jawatan itu. Dan tidak salah kalau pun beliau merasa bosan menunggu jawatan itu kerana ia sudah terlalu lama.

Sebagai insan, sesiapa yang memiliki perasaan dan maruah akan faham kalau Anwar mengambil keputusan itu, berhenti daripada terus bercita-cita untuk jadi perdana menteri hatta meninggal terus gelanggang politik. Ini kerana segala pancaroba dan kesangsaraan yang beliau tempohi, tidak bisa diubati dengan dambaan orang kepadanya. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Anwar tahu rakyat menanti kehadirannya di tempat itu, tetapi perjalanan yang dilaluinya sangat memeritkan sehingga membebankan diri dan perasaannya juga seluruh keluarganya.

Makanya, kalau tiba-tiba beliau mengaku kalah, tidak menjadi kesalahan bahkan wajar dalam untuk menenangkan sebuah kehidupan berkeluarga. Dari satu sisi ia wajar dan tepat.

Pernyataan Anwar yang membimbangkan saya kepada media asing itu, tentu ada kena mengena dengan apa yang berlaku, di Sheraton hotel tempoh hari. Jelas sekali peristiwa itu mengesankan kepada beliau. Sesiapa pun (bukan saja Anwar) marah dan cukup kecewa dengan kejadian di Sheraton itu lantaran kebejatannya.

Walaupun kejadian di Sheraton itu tidak keseluruhan tertuju kepadanya, tetapi beliaulah menerima kesan dan mengalami kerugian besar sekali daripada apa yang berlaku.

Beliaulah oknum yang menanggung kerugian sebab apabila gerakan di Sheraton itu berjaya dan tumbangnya kerajaan PH, bermakna penantian dan harapan beliau untuk jadi PM selepas sidang APEC bulan November 2020 seperti dijanjikan terburai terus. Kalau sebelum ini ada tempoh dan masa dinanti untuk beliau melangkah ke jawatan itu, tetapi kini semuanya hilang melesap.

Kehilangan kerajaan PH mejadikan lubang harapan untuk beliau menjejak kaki ke kerusi PM dalam masa terdekat menjadi sempit dan tertutup terus. Kejadian itu bukan sahaja mengecewakannya, tetapi seluruh rakyat mendambakan beliau jadi PM kecewa, kesal dan jadi histerius.

Kini untuk menuju ke pengharapan itu beliau kena memulakan dari langkah pertama yang sangat jauh untuk sampai ke penantian itu yang sebelum ini hanya bertempoh lima bulan saja. Bukan sekali itu beliau mengalami keadaan begitu, tetapi sudah pernah. Lebih 20 tahun beliau diharap untuk jadi pemimpin nombor satu. Namun itu tidak berlaku beliau penasaran terus, berjuang seolah-olah tidak pun menanti jawatan itu. Semua kecelakaan dan kemalangan itu ditelan penuh keinsafan atas sifat sebagai seorang beriman harus percaya kepada qadar dan qada.

Berbeza.

Yang jelasnya kekecewaan beliau sebelum ini berbeza dengan kekecewaan yang terbaharu kini. Dahulu beliau dikecewakan daripada berharap menjadi PM kerana adanya konspirasi pemainan kuasa peringkat tertinggi di antara golongan korporat kapatilis dengan politis memerintah.

Tetapi kali ini ia berlaku disebabkan kerana ada gerakan dari dalaman sendiri termasuk orang-orang dari dalam partinya yang dipercayai. Ia juga disokong oleh orang yang mengangkat bai’ah dalam PH.

Inilah menjadikan beliau lebih terkasima dan kalau merasa kecewa berat pun memang wajar.

Ia mungkin boleh diterima kalau beliau juga ada perasaan tergamak dan sanggup melakukan kejahatan yang sama. Tetapi sebagai orang yang berprinsip dan masih menghormati suara rakyat, beliau tidak sedia mencabuli mandat rakyat serakus itu.

Beliau tidak tegal dan bersedia melakukan itu kerana ia akan menjadi satu pengajaran di masa akan datang. Orang sepertinya tidak akan mengajar masyarakat dengan kebobrokan kerana beliau adalah anti dan benci kebobrokan.

Itu hakikat yang berlaku kepada Anwar walaupun beliau dituduh seorang politis yang licit dan penuh kepura-puraan, tetapi belum pernah sekali beliau mencabul mandat rakyat. Tidak ada rekod Anwar memijak kepala ketua sehingga beliau berdiri tegak, bahkan yang berlaku beliau selaku ketua diinjak-injak kepalanya.

Ekoran gerakan September 1999 beliau dikaitkan untuk merampas kerajaan melalui parlimen, tetapi itu hanya tuduhan atau ura-ura sahaja tetapi ia tidak pernah berlaku namun senantiasa diungkitkan dan disabitkan dengannya. Tetapi bagi orang lain, diam-diam melakukan itu tanpa digembar-gembur pun dan berlaku, didiamkan sahaja.

Bahkan apa terbukti beliau berjaya membangkitkan gelombang rakyat menerusi gerakan Reformasi untuk melakukan perubahan yang salah satunya, ini terbesar tumbangnya kerajaan puaka Umno 61 tahun. Tidak boleh siapa nafikan sejarah tumbangnya Umno ini adalah dicetuskan oleh beliau.

Ketidaksediaan Anwar untuk bermain secara jahat terserlah dalam petikan berikut;

“Pastinya lebih munasabah untuk berada dalam kerajaan, untuk mampu memberi kesan terhadap perubahan dasar dan reformasi sebenar untuk negara, tetapi ia tidak seharusnya dibuat dengan harga tertentu,”

“Kita patut melakukan apa saja yang wajar, tetapi pastinya bukan sehingga mengorbankan prinsip,” katanya dipetik,.

Apa yang boleh difahami Anwar tidak tergamak melakukan kejahatan untuk naik mencapai cita-cita dengan perbuatan jahat dan khianat, walaupun ia boleh dilakukan. Baginya rampasan kuasa untuk berkuasa itu satu perbuatan yang keji dan jijik yang tidak mungkin dilakukan olehnya. Apa pun tohmahan dan cercaan kepadanya beliau seorang politis yang bermaruah dan berprinsip. Tentunya bagi Anwar tanpa mencapai cita-cita besar jadi PM, tidak jadi masalah asalkan beliau kekal disebut sebagai seorang politis bermaruah dan berprinsip. Itu lebih mahal dan lebih bermakna daripada menjadi PM secara no halal.

Dan atas segala rekod dan keistimewaan yang ada kepada beliau itulah menyebabkan beliau terus didambakan rakyat untuk jadi perdana menteri. Kalau pun beliau ditakdir pasrah dan berundur kerana tidak bersedia menghadapi kebajingan tadi, tetapi rakyat tetap mengharap. Tanpa Anwar jadi PM, politik negara ini akan pincang selama-lamanya. Rakyat yang mencintainya akan tersebut-sebut sampai ke mati.

Semoga kenyataan Anwar seperti dipetik itu tidak dari konteks yang saya bimbangi itu. Sama-sama kita berdoa semoga beliau istiqamah demi memenuhi dambaan rakyat.

Berita Penuh :https://msomelayu.blogspot.com/2020/05/doakan-anwar-istiqamah-penuhi-dambaan.html?spref=fb&m=1