Mulai 14 November 2024, platform penstriman terkemuka Malaysia, Netflix, telah menaikkan harga langganannya.
Berdasarkan kemas kini di portal rasminya, Netflix telah mengumumkan perubahan harga bagi semua pelan langganan.
Kini, pelan Netflix Mobile ditawarkan pada harga serendah RM18.90/sebulan, manakala pelan Basic berharga RM29.90/sebulan.
Bagi pelan Standard dan Premium, harganya masing-masing adalah RM49.90/bulan dan RM62.90/bulan.
Namun, tiada perubahan dari segi sokongan resolusi peranti bagi setiap pelan di platform ini.
Netflix turut menaikkan harga langganan di beberapa negara
Menurut laporan BBC, Netflix telah menaikkan harga langganan di Jepun, beberapa bahagian Eropah, Timur Tengah, dan Afrika sejak bulan lalu.
Sementara itu, harga langganan di Itali dan Sepanyol masih dalam pertimbangan.
Sebelum ini, syarikat tersebut mencari pelbagai kaedah baharu untuk meningkatkan pendapatan berikutan tanda-tanda penurunan pasaran, termasuk langkah menghadkan perkongsian kata laluan dan memperkenalkan pilihan sokongan iklan pada tahun 2022.
Langkah tersebut telah membawa kepada pertumbuhan baharu bagi syarikat.
Selain itu, Netflix telah menambah lebih 45 juta ahli baharu sejak tahun lepas dan kini memiliki 282 juta pelanggan di seluruh dunia.
Penganalisis turut meramalkan bahawa pilihan sokongan iklan akan menjadi sumber perniagaan terbesar bagi Netflix.
BACA: Padah cas telefon ketika tidur, lelaki maut terkena renjatan elektrik