Apabila kecurangan dianggap sebuah kejayaan

Apabila kecurangan dianggap sebuah kejayaan

Sang perakam sejarah negara terpendam lagi terkenal tanah air, Hishamuddin Rais, menyebutkan bahawa akan ada ‘the great reset’ sepanjang tempoh disebutnya sebagai berkhalwat.

The great reset’ adalah “semua sekali akan berubah”. Ia lebih besar daripada penjajaran politik tanah air yang ada Langkah Sheraton itu. Ia bukan sekadar peralihan kuasa belakang pintu antara PH kepada PN atau di antara Dr Mahathir Mohamad kepada Muhyiddin Yasin.

Ia mungkin sesuatu yang tidak terjangkau akal kita lagi. Ini bukan lagi persoalan politik. Kompleks.

Menurut Kamus Dewan, khalwat mempunyai dua maksud. Pertama, perbuatan menjauhkan diri daripada orang banyak kerana hendak beramal (menenangkan fikiran). Contoh perbuatan ini biasanya dirujuk dengan sirah Nabi Muhamad SAW yang mengasingkan diri di Gua Hira’.

Pengasingan diri baginda itu dikenali sebagai khalwat. Bersunyi-sunyi untuk menghampirkan diri dengan Tuhan. Di situlah kemuncak nikmat hidup beruzlah untuk membina kekuatan diri.

Maksud kedua pula adalah berada di tempat sunyi (bagi pasangan lelaki dan perempuan yang tidak bernikah) sambil melakukan perkara mungkar lagi sumbang. Maksud kedua ini lebih popular digunakan dalam pemakaian istilah khalwat oleh orang awam.

Makna khalwat ialah menjauhkan diri daripada orang ramai. Tidak banyak beza sangat dengan istilah social distancing atau stay at home. Istilah khalwat yang saya maksudkan dalam tulisan ini adalah kedua-dua makna sekali gus. Ia merujuk kepada perbuatan melakukan pengasingan.

Bersunyi-sunyian dengan pasangan dan melakukan perkara mungkar dan curang. Curang terhadap demokrasi. Mungkar kepada negara.

Rezeki terpijak

Wabak Covid-19 adalah penyebab kepada timbulnya perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh polis dengan bantuan tentera. Serangan wabak Covid-19 berlaku semasa dalam proses peralihan kuasa politik tanah air berlaku.

Covid-19 bukan masalah Malaysia sahaja. Kini ia berstatus pandemik. Wabak ini sudah menjadi isu rentas benua.

Fenomena dunia yang bergabung dengan situasi semasa politik tempatan menjadikan PKP semakin menarik untuk ditelaah. Mentelaah ilmu sosiologi.

Sebahagian pimpinan PH menyedari isu peralihan kuasa perdana menteri berpotensi membawa kekacauan dalam negara. Oleh itu, mereka mengambil sikap mengendurkan tekanan terhadap Mahathir.

Kestabilan kerajaan PH lebih penting daripada peralihan kuasa itu.

Malangnya, keadaan tidak dapat diselamatkan. Terlewat. Kerajaan PH tumbang angkara masalah dalaman sendiri. Parti-parti pembangkang yang kalah dalam PRU14 hanya mengambil kesempatan keadaan yang berlaku. Mereka dapat ‘rezeki terpijak’. Ambillah. Alhamdulillah. Syukur.

Sejurus tumbangnya kerajaan PH dan naiknya kerajaan PN, perintah berkurung dalam rumah pun dikenakan.

Mahu buat demonstrasi jalanan tidak kesampaian. Ceramah-ceramah dibatalkan. Mesyuarat juga dibatalkan. Kenduri tahlil atas kematian kerajaan PH pun tidak boleh. Pejabat, sekolah, universiti, kedai dan banyak operasi perniagaan ditutup. Harga petrol turun mendadak pun tiada makna.

Masing-masing sibuk ke kedai runcit atau pasar raya besar untuk membeli makanan. Berita tentang kekurangan makanan, beras, roti menjadikan orang ramai semakin kacau dan bimbang.

Mereka membeli bekalan makanan secara berlebih-lebihan. Masyarakat tidak fikir soal peralihan kuasa. Siapa perdana menteri atau kabinetnya. Masyarakat disibukkan tentang perut sendiri dan anak isteri.

Orang politik sentiasa kreatif

Dunia macam mahu kiamat. Hampir semua orang berkurung dalam rumah. Yang berkemampuan, makan, berak, tidur dan berwhatsapp menjadi agenda harian. Kongsi masakan. Kongsi buku.

Malangnya yang kurang berkemampuan, menahan kelaparan dan cuba bersabar kerana kehilangan pekerjaan, pendapatan dan sebagainya.

Dalam ketidaktentuan inilah, wujud suatu ketentuan lain iaitu golongan yang menangguk di air keruh. Mereka memainkan peranan yang merosakkan masyarakat dan negara.

Dalam berkhalwat, mereka melakukan perkara mungkar dan curang. Curang terhadap sistem demokrasi dan mandat rakyat.

Dalam politik, tiada istilah kurungan atau perintah kawalan pergerakan. Orang politik sentiasa kreatif bergerak dan menggerakkan sesuatu. Inilah kepakaran orang politik – membangkitkan orang mati, mematikan orang hidup. Memenangkan yang kalah, mengalahkan yang menang.

Mana mungkin untuk orang politik berdiam diri? Berdiam diri daripada kehilangan kerajaan dan jawatan? Berdiam diri daripada ketinggalan? Berdiam diri daripada menyusun orangnya dalam jabatan baru? Berdiam diri daripada menunjukkan kuasa yang baru diperolehi? Berdiam daripada mempamerkan diri sebagai pemimpin kerajaan baru yang prihatin.

Bagi orang politik, itu semua tidak mungkin. Mana mungkin?

Bagi pemimpin kerajaan terutama para menteri, mereka ada ruang pergerakan yang sangat luas. Mereka boleh beraksi di kaca televisyen, bercakap di radio dan media massa.

Mereka boleh membuat lawatan yang perlu dan yang tidak perlu. Itulah kelebihan pemimpin kerajaan. Tidak sebagaimana pemimpin pembangkang. Pergerakan mereka terhad dan agak sukar.

Hidup penuh curiga

Kerajaan PH jatuh secara sempurna. Akan tetapi kerajaan PN pula belum sempurna binaannya. Hal ini kerana perhubungan politik PN masih hujung-hujung kuku. Sejarah hubungan gelap mereka yang panjang sarat dengan pengkhianatan.

Banyak perkara yang perlu pimpinan PN lakukan selepas mendirikan kerajaan baru. Kerja ini tidak boleh ditangguhkan. Dalam keadaan berkhalwat, ahli politik tidak pernah mati berfikir untuk membunuh musuhnya.

Kombinasi politik PN dibina dengan asas dan falsafah yang tidak jelas. Ia adalah sebuah kerajaan Melayu-Islam yang menolak realiti kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia. Ia adalah sebuah kerajaan sentimen. Kerajaan segera. Kerajaan belakang pintu. Kerajaan separuh kerajaan. Separuh lagi adalah ketidaktentuan.

Ketidaktentuan yang tidak dikawal hanya mewujudkan kehidupan yang penuh curiga dan waspada. Kerajaan pintu belakang adalah salah satu contoh ketidaktentuan dalam politik. Seperti juga pembelian barangan secara panik adalah contoh ketidaktentuan dalam ekonomi.

Dalam keadaan ini juga maklumat palsu membanjiri dalam pemikiran masyarakat. Kepalsuan kini dianggap satu kebenaran. Sebaliknya kebenaran pula dianggap sebagai kejahilan.

Apabila sekolah dan universiti ditutup, kaedah pengajaran memerlukan perubahan yang dipaksa. Konsep e-learning terpaksa dilakukan. Penggunaan telefon pintar adalah satu keperluan. Tidak kira yang kaya atau miskin. Ada buruk baiknya. Yang pastinya, penindasan golongan miskin berterusan.

Kelompok berkuasa menekan kelompok yang tidak berkuasa.

Ketidaktentuan kerajaan pula hanya menerbitkan kekacauan politik. Ekonomi merudum. Masalah sosial akan memuncak. Ini belum sampai lagi tahap kebuluran. Akan tetapi dalam keadaan berkhalwat ini, curang yang paling besar ialah melakukan kejahatan sesama sendiri.

Kejahatan semakin besar apabila kecurangan dianggap sebagai kejayaan. Seperti kerajaan pintu belakang, tidak pergi bekerja, sorok barang dianggap sebagai pintu rahmat.


DR MUHAIMIN SULAM ialah aktivis politik, dan penulis buku serta esei.