Arahan pancaran lampu hijau sebahagian pelan imarah masjid di Wilayah

Arahan pancaran lampu hijau sebahagian pelan imarah masjid di Wilayah

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini berkata arahan untuk semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dihiasi dengan pancaran cahaya berwarna hijau sebagai tidak berkaitan dengan mana-mana parti politik.

Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail ketika dihubungi berkata ia sebahagian daripada pelan mengimarahkan masjid dan surau.

“Ia tiada berkaitan dengan parti politik.

“Inisiatif pencahayaan masjid ini bertujuan untuk menonjolkan lagi syiar Islam dan sebagai satu pengenalan kepada semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Ia menyerlahkan lagi institusi tersebut yang berperanan sebagai pusat ibadah, keilmuan dan penyatuan masyarakat,” katanya.

Dia sebelum itu diminta menjelaskan surat Jawi kepada kesemua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan yang diminta untuk mewarnakan menara dengan pancaran cahaya berwarna hijau.

Surat bertarikh 4 September itu yang turut dilihat Malaysiakini ditujukan kepada pengerusi-pengerusi jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan.

Sebelum ini, terdapat khabar angin bahawa cadangan tersebut berkait dengan parti politik khususnya PAS.

Bagaimanapun, Mohd Ajib selaku Pengarah Jawi berkata cadangan itu merupakan salah satu inisiatif di dalam Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 yang dilancarkan oleh Jawi baru-baru ini.

“Pelan pengimarahan ini adalah cetusan idea Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

“Pelan yang bertujuan mewujudkan landskap baharu program pengimarahan institusi masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi memastikan peranan dan fungsi masjid serta surau dapat dihidupkan dengan sebaik mungkin.

“Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan ini telah dilancarkan pada 20 Ogos 2020 bersamaan 1 Muharram 1442 bersempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan.

“Pelan ini mengandungi 5 Teras iaitu Ibadah, Dakwah, Sosial, Komuniti dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Keilmuan serta Ekonomi. Selain itu pelan ini juga menggariskan beberapa program terpilih yang akan dilaksanakan dalam tempoh segera,” katanya lagi.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/541398