Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengesahkan pengislaman seorang saudara baru selepas tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India minggu lalu.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan penyebaran maklumat mengenai perkara tersebut di aplikasi WhatsApp.
Menurut mesej yang tersebar, seorang lelaki India yang sedang duduk di kerusi dan sempat menyelamatkan diri didakwa telah memeluk agama Islam selepas kejadian itu.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata individu tersebut telah mengucapkan lafaz syahadah di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
ABIM menegaskan bahawa memeluk agama adalah hak dan fitrah semula jadi manusia.
Oleh itu, tindakan lelaki tersebut adalah secara sukarela.
“ABIM memohon agar semua pihak memberi ruang kepada saudara baru ini untuk bertenang, menghormati privasi, dan mendoakan kebaikan beliau.
“Semoga kita semua mendapat hidayah daripada Allah Subhanahu wa-Ta’ala, serta istiqamah dalam melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.
“ABIM juga mengajak semua umat Islam untuk terus menyebarkan keindahan Islam dan meningkatkan keimanan serta ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, ABIM turut mengajak semua umat Islam mendoakan urusan operasi carilamat mangsa tanah jerlus.
“Dalam masa yang sama, ABIM juga mendoakan agar operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India dipermudahkan, dan menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa,” ujarnya lagi.
Terdahulu, satu kejadian tanah jerlus berlaku di laluan pejalan kaki berhadapan Malayan Mansion, yang menyebabkan seorang pelancong warga India terjatuh dan masih hilang hingga kini. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kerjasama pelbagai pihak dengan pelbagai kaedah telah digunakan.
Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui.
Rakaman CCTV yang memaparkan kejadian tersebut menunjukkan beberapa individu yang sedang duduk di atas kerusi hampir terjatuh ke dalam tanah jerlus, namun mereka berjaya menyelamatkan diri.
BACa: 20 tahun kahwin, wanita baru tahu 3 tahun dimadukan suami, keluarga mertua pun bersubahat