Asyraf minta RCI lagi, kali ini siasat buku Tommy Thomas pula

Asyraf minta RCI lagi, kali ini siasat buku Tommy Thomas pula

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat beberapa perkara yang dibangkitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Desakan itu disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyenaraikan tujuh asas yang beliau dakwa mewajarkan penubuhan RCI itu.

“Berpandukan kepada tujuh asas tersebut, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar kerajaan segera menubuhkan sebuah RCI bagi menyiasat segala salah laku dan isu-isu yang dibangkitkan di dalam buku bekas Peguam Negara tersebut.

“Ini penting bagi memastikan kepercayaan rakyat tidak sesekali terhakis terhadap badan-badan yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang negara,” katanya menerusi akaun Facebook beliau pada Jumaat.

Berikut adalah asas dikongsikan Asyraf Wajdi:

1. Penyalahgunaan Kuasa dalam Isu Perlantikan Hakim

Tommy Thomas mengakui terlibat di dalam mempengaruhi pemilihan dan penetapan Hakim-Hakim Kanan termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan melalui beberapa siri perbincangan beliau bersama Perdana Menteri sedangkan beliau bukan Ahli Suruhanjaya Pelantikan Hakim.
Ini jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta 695) 2009.

2. Kebebasan Badan Kehakiman

Berikutan pendedahan Tommy Thomas juga, siasatan RCI juga harus disekalikan dengan dakwaan salah laku kehakiman yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pada tahun 2019 sebagaimana desakan yang sama dibuat SUARAM.

3. Campur Tangan Badan Eksekutif Melampau dalam Badan Pengadilan

Pendedahan Tommy Thomas juga menzahirkan wujudnya campur tangan yang jelas Perdana Menteri Ke-7 Tun Mahathir Mohamed ke dalam badan pengadilan dan kehakiman. Ini jelas bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

4. Pendakwaan Terpilih dan Bersifat Politik

Tommy Thomas melakukan pendakwaan terpilih secara tidak adil apabila beliau bertindak menggugurkan pendakwaan bahkan menarik balik kes yang sedang dibicarakan melibatkan kes rasuah pemimpin tertinggi Lim Guan Eng walaupun agensi penguatkuasaan SPRM mengakui mereka mempunyai kes terhadap bekas Menteri Kewangan itu.

Ini tidak termasuk sejumlah besar kes-kes lain yang ditarik balik melibatkan pimpinan PH seperti R Sivarasa, Rafizi Ramli, N Surendran, Thomas Su Keong Siong, Hassan Karim dan ramai lagi.

Thomas juga bertindak menghentikan prosiding undang-undang ke atas 12 individu termasuk dua pimpinan DAP yang didakwa menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) walaupun pihak PDRM mempunyai kes terhadap mereka.

5. Pelanggaran Sumpah Kerahsiaan

Tommy Thomas melanggar Sumpah Kerahsiaan Jawatan dan Akta Rahsia Rasmi (Akta 88) 1972 dengan mendedahkan kepada umum di dalam bukunya mengenai isi kandungan perbincangan dan konsultasi beliau selaku Peguam Negara bersama Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang diklasifikasikan sebagai sulit.

6. Perlanggaran Etika Untuk Melobi Jawatan Peguam Negara

Tommy Thomas mengakui bahawa beliau ‘melobi’ jawatan Peguam Negara sejak dari sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 pada tahun 2013.

Beliau juga mengakui telah mendapatkan sokongan mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang bagi jawatan ini dan memaklumkan kepada YABhg Tun Dr Mahathir selepas kemenangan PRU – 14 pada tahun 2018.

Beliau juga secara langsung ataupun tidak menzahirkan kecenderungan politik beliau hingga mencairkan prinsip keadilan dalam melakukan pendakwaan terpilih bersifat politik terhadap pemimpin-pemimpin yang berbeza ideologi politik dengan beliau.

7. Penghinaan Kepada Institusi Perundangan Negara

Tommy Thomas jelas memperlekeh dan mendakwa pegawai-pegawai undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji, dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Dakwaan ini amat serius hingga mampu memberi impak negatif daripada kaca mata rakyat terhadap badan perundangan negara yang seharusnya menjadi benteng keadilan buat mereka. –AA