Demi kelangsungan hidup selepas bersara lima tahun lalu, bekas pelumba berbasikal profesional,
Mohd Zamri Salleh kini dilaporkan sedang mengusahakan sebuah perniagaan kedai kopi di Kuala Terengganu.
Zamri mengakui, di penghujung kariernya pada 2019 dia sudah merancang perjalanan masa hadapannya
kerana sedar kebanyakan atlet tidak mempunyai simpanan sehingga sukar untuk bertahan selepas bersara.
Setelah berfikir-fikir, bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu berkata, dia telah menggunakan RM20,000 wang simpanannya untuk membuka kedai kopi pertama di Pasir Panjang.
“Saya bersara dalam kejohanan sukan berbasikal pada 2019. Jadi ketika penghujung karier saya itu mula terfikir macam mana nak teruskan kelangsungan hidup sekiranya sudah tidak lagi menjadi atlet.
“Sebab kebanyakan atlet sebenarnya susah nak bertahan selepas karier mereka di mana ada yang tidak mempunyai simpanan sendiri selain mempunyai komitmen lain untuk membayar kereta, rumah dan sebagainya.
“Jadi dengan simpanan yang masih ada, saya memilih untuk membuka perniagaan kedai kopi kerana minat terhadap minuman itu selain terfikir kenapa tidak hasilkan kopi sendiri dengan membuka perniagaan menjual kopi dengan jenama sendiri,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Bekas atlet berusia 40 tahun itu pernah memenangi pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Lapor Sinar Harian lagi, kafe pertama yang dibukanya pada awal 2020 terpaksa ditutup hanya selepas dua tahun dibuka.
Dia akui kehadiran lebih banyak kedai kopi di sekitar daerah itu menyebabkan perniagaannya sedikit terjejas.
“Jadi saya membuat keputusan untuk menutup perniagaan kafe di Pasir Panjang itu susulan parkir berhampiran kafe tersebut agak susah menyebabkan sukar pelanggan nak singgah.
“Disebabkan minat saya terhadap kopi maka dua tahun kemudian, saya membuka pula perniagaan kopi berkonsepkan kios di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan ia bertahan sehinggalah sekarang,” ujarnya.
Mengenai perancangan masa depan, Mohd Zamri menyatakan hasrat untuk membuka perniagaan kopi berkonsepkan kios di setiap daerah di Terengganu.
“Saya tak nak buka kafe yang besar dan ada pendingin hawa. Namun saya juga berharap kedai kopi berkonsepkan kios diusahakan ini turut dikenali oleh peminat kopi di seluruh negara,” jelasnya.
Baca juga: