AWAN gesa PN kekalkan teknokrat wanita terajui GLC dan agensi

AWAN gesa PN kekalkan teknokrat wanita terajui GLC dan agensi

Ironi sekali ketika hari pekerja kita rayakan , angin bertiup kencang membawa khabar akan ada dua lagi CEO wanita yang mengetuai GLC dijangka akan ditamatkan perkhidmatan mereka bagi membolehkan pemimpin Umno di lantik ke jawatan tersebut.

Sehingga kini hampir 10 pemimpin wanita yang bukan dari parti politik telah dipecat oleh pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional. Yang paling menyedihkan ada yang dipecat dengan alasan menterinya tidak suka bekerja dengan seorang wanita.

Kalau ini bukan diskriminasi gender, tak tahulah lagi apa yang nak dikatakan tentang watak dan sikap yang ada kepada pemimpin yang menerajui kerajaan hari ini.

Angkatan Wanita Amanah ( AWAN) Negeri Kelantan amat kesal dengan apa yang berlaku kerana pemecatan ini adalah satu langkah ke belakang yang akan merugikan negara. Penglibatan wanita di peringkat kepimpinan tertinggi , pembuat keputusan dan dasar sesebuah syarikat atau organisasi telah terbukti dalam kajian akan menguntungkan organisasi tersebut.

Statistik menunjukkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan negara ini adalah ditahap 54.7% berbanding kaum lelaki pada kadar 80.7%. Namun lebih kurang separuh daripada kesemua profesional dan pekerja teknikal adalah wanita. Sebaliknya hanya 22.2 peratus wanita yang menyandang jawatan tertinggi di peringkat pengurusan.

Sayang seribu kali sayang, usaha keras yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini untuk menaikkan kedudukan wanita di tempat yg sebenarnya bakal terkubur begitu sahaja.

Perjuangan PH mengiktiraf wanita bermula sejak sebelum PRU 14 ,dengan beraninya menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri diikuti dengan perlantikan wanita yang berkaliber menerajui GLC bukan setakat untuk memenuhi kuota tetapi kerana atas dasar merit dan kelayakan wanita-wanita ini.

Kerajaan PH berusaha memastikan 30% jawatan utama dan eksekutif disandang oleh wanita di negara ini kerana banyak kajian menunjukkan sekiranya sesuatu organisasi dipimpin bersama oleh wanita dan lelaki di dalamnya maka organisasi tersebut akan beroleh kejayaan berlipat ganda.

Bagi Kerajaan PN tanpa menifesto dan halatuju yang jelas ini , kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara tidak penting. Yang penting adalah bagaimana memberi habuan dan gula-gula kepada sekutu yang telah bersekongkol menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat dengan cara yang begitu tidak demokratik.

Yang rugi siapa? Yang rugi adalah agensi dan syarikat GLC kita yang sebenarnya telah menunjukkan kejayaan di bawah kepimpinan wanita berkemampuan dan berkaliber ini.

Yang sebenarnya rugi siapa ? Yang sebenarnya rugi adalah rakyat sekiranya kita tidak sedar dan terus membiarkan perbuatan pemimpin yang berkuasa melakukan apa sahaja bukan untuk kepentingan rakyat jelata tetapi lebih kepada kepentingan politik peribadi dan poket sendiri.

Dengan ini AWAN Negeri Kelantan menggesa agar pihak Kerajaan PN menimbangkan keputusan memecat baki teknokrat wanita yang menerajui agensi dan GLC kerana hakikatnya mereka mempunyai merit untuk berada di situ bagi kepentingan rakyat dan negara.

Dr Hafidzah Mustakim
Ketua Awan Negeri Kelantan