AWAN Selangor Menyokong Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD)

AWAN Selangor Menyokong Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD)

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Selangor menyambut baik dan menyokong pengumuman YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amiruddin Shari semalam yang bertarikh 3 Mei 2020, berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) Selangor.

AWAN Selangor berpandangan pelaksanaan PKPBD Selangor ini merupakan langkah bertahap dan pendekatan yang lebih tepat, cermat dan bersifat ‘soft landing’ dalam menghadapi pandemik global Covid-19.

Ianya bersesuaian dengan keadaan serta suasana Negeri Selangor yang mempunyai kepadatan penduduk yang lebih tinggi, struktuk sosial yang kompleks dan jalinan perniagaan serta industri yang berskala besar berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Pengumuman pelaksanaan PKPBD Selangor juga diyakini akan menghilangkan kegusaran dan kebimbangan sebahagian besar rakyat Selangor khususnya dan pihak ‘frontliners’ terhadap kemungkinan merebaknya jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi sekiranya pihak berkuasa gopoh atau tidak berhati-hati dalam membuat keputusan dengan melonggarkan PKP lebih awal daripada tempoh selamat yang sepatutnya.

AWAN Selangor berharap penguatkuasaan dan pematuhan terhadap peraturan-peraturan serta Garis Panduan (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor semasa tempoh PKPBD ini dapat dilakukan secara menyeluruh dan keupayaan badan-badan penguatkuasaan yang bertugas akan sentiasa dipertingkatkan.

Tindakan tegas seperti mengenakan tindakan undang-undang atau penarikan balik kebenaran/lesen beroperasi atau apa-apa tindakan yang berkaitan, perlu diambil terhadap mana-mana peniaga/majikan/pihak yang gagal mematuhinya demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor keseluruhannya.

Pandemik Covid-19 yang sedang kita hadapi ini telah memberi kesan dan membawa satu perubahan yang besar kepada cara hidup kita. Penyesuaian perlu kita lakukan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan diri, keluarga dan masyarakat kita tetap terjamin dengan mengambil kira norma baharu dalam pendekatan dan amalan kehidupan harian, contohnya, pematuhan penggunaan topeng muka, melakukan penjarakan sosial dan amalan pencucian tangan yang kerap. Dengan itu, pelbagai lapisan rakyat, para peniaga dan majikan di Selangor perlu diberi kesedaran dan dididik untuk mengamalkan norma baharu ini di samping patuh kepada SOP yang telah ditetapkan.

AWAN Selangor ingin menyeru kepada semua pihak yang mempunyai sumber dan keupayaan untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab, menggembleng usaha dan tindakan serta berperanan dengan lebih proaktif untuk membina norma baharu kehidupan yang baik di Selangor, khususnya dan di Malaysia, amnya.

Harapan kami agar semua pihak di Selangor mempamerkan kerjasama yang utuh dan memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha mempastikan PKPBD Selangor terlaksana dengan jayanya.

Kami juga berkeyakinan tinggi bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Selangor, kelak akan berupaya untuk mengemukakan Pelan Keluar atau ‘Exit Plan’ PKPBD yang holistik dan menyeluruh selepas daripada tarikh 12 Mei 2020.

Salam hormat.

RAWIYIAH BINTI ZAKARIA
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Selangor
Selasa, 5 Mei 2020