Bagus juga tidak ada manifesto, boleh buat apa saya suka – Muhyiddin

Bagus juga tidak ada manifesto, boleh buat apa saya suka – Muhyiddin

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini mengakui pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukanlah dibentuk selepas diadakan pilihanraya seperti biasa, tetapi berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, presiden Bersatu berkata kerajaan PN tidak mempunyai apa-apa manifesto atau akujanji yang biasanya dibentangkan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya.

“Tanpa manifesto, saya fikir agak sukar untuk saudara-saudari menilai pencapaian kerajaan. Janji-janji mana yang telah tertunai dan mana yang belum tertunai tidak boleh disenaraikan satu-persatu.

“Bagus juga tidak ada manifesto, boleh buat apa saya suka (untuk kebaikan rakyat), dulu (PH) ada manifesto tapi tidak dilaksana.

“Namun, ini tidak bermakna bahawa saya boleh melakukan sewenang-wenangnya.

“Tiada manifesto bukan bermakna tiada kebertanggungjawaban atau accountability kepada rakyat. Accountability sebagai pemimpin tetap ada,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut menyampaikan ucapan dalam konvensyen itu ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin dan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal.

Presiden dan ketua pemuda Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dijadual berucap bagaimanapun tidak hadir.

Selanjutnya ketika berucap, Muhyiddin berkata, beliau menerima jawatan perdana menteri demi menggalas amanah rakyat di bahunya.

“Saya bertanggungjawab kepada rakyat. Menteri-Menteri yang saya lantik juga bertanggungjawab kepada rakyat.

“Jika kami gagal memikul amanah kepada rakyat dengan baik, kami akan dipersoalkan oleh rakyat. Itu prinsip yang paling utama,”katanya.

Dalam ucapanya Muhyiddin berkata, krisis getir yang menguji kebertanggugjawaban kerajaan Perikatan Nasional kepada rakyat ialah penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

PN tiada tempoh bulan madu

Katanya, krisis seumpama itu tidak pernah berlaku di Malaysia serta di seluruh dunia dan berkat kesungguhan kerajaan dengan dokongan petugas barisan hadapan, penjawat awam, sukarelawan dan disiplin rakyat, negara dapat mengharungi krisis tersebut dengan baik.

Kata Muhyiddin, sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab kepada rakyat, beliau tidak boleh membiarkan krisis itu begitu sahaja, maka beliau terpanggil untuk memberikan perlindungan ekonomi kepada rakyat.

Disebabkan itu katanya, beliau telah meminta Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya mencari sumber kewangan untuk negara.

Katanya, beliau tidak sampai hati untuk memberitahu kepada rakyat bahawa kerajaan tidak mempunyai wang ketika mereka berada dalam kesusahan.

“Menteri Kewangan lapor semula kepada saya, “Ya tuan, kita ada wang.” Saya berkata,” Baiklah, kita akan menggunakan wang itu untuk meringankan beban orang,” katanya.

“Wang inilah yang digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat menerusi pakej-pakej rangsangan ekonomi yang kesemuanya bernilai RM295 bilion.

“Ramai yang telah menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan oleh kerajaan dan mereka amat berterima kasih,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaannya juga tidak mempunyai masa untuk berbulan madu setelah diberi amanah mentadbir negara sejak Mac lalu.

Kata Muhyiddin, disebabkan itu, kerajaan PN sebaik saja dibentuk terus berfungsi sebagai kerajaan yang bekerja siang dan malam untuk membela rakyat.

“Kami tiada masa untuk berbulan madu sebagai kerajaan baru. Tidak ada tempoh bulan madu untuk kita semua.

“Kami bekerja sebagai pemerintah yang berfungsi dari semasa ke semasa,” katanya.

Turut menyampaikan ucapan adalah Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, serta Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan ketua pemudanya Khairil Nizam Khiruddin.

Presiden dan ketua pemuda Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dijadual berucap bagaimanapun tidak hadir.