Pelakon Diana Danielle nekad untuk meneruskan penceraian dengan aktor Farid Kamil setelah setahun mereka kembali rujuk.
Diana, atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, berharap proses penceraian mereka dapat diselesaikan dengan cepat tanpa sebarang isu.
“Saya harap yang terbaik untuk kami berdua. Saya rasa tak perlu untuk memanjangkan kes penceraian ini.
“Saya berserah sebab kita hanya merancang, selebihnya kita tengok apa penghujungnya,” katanya.
Diana berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pagi Isnin.
Pelakon itu hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader, untuk memfailkan penceraian terhadap Farid.
Menurut Akberdin, alasan Diana memfailkan penceraian adalah kerana sudah tiada persefahaman antara mereka.
“Boleh dikatakan mereka tiada persefahaman. Hari ini kami hanya memfailkan permohonan penceraian dan akan mendapatkan satu tarikh,” jelasnya.
Pada 28 Oktober lalu, Diana mengejutkan peminat apabila mengumumkan niat untuk memfailkan cerai terhadap Farid.
Namun, Farid menyatakan rumah tangga mereka dalam keadaan baik dan mengatakan bahawa kemarahan Diana hanyalah disebabkan salah faham kecil, selain menyatakan mereka masih tinggal sebumbung.
Diana bagaimanapun menyangkal perkara tersebut dan telah menghantar notis pindah rumah kepada Farid melalui WhatsApp.
BACA: “Luas salah, sempit salah, senang kata semua salah tempar parking tu juga”