“Balik je, hadap apa jua siasatan, jangan bagi alasan, saya tak nak dengar”, pesan Azam Baki kepada menantu Muhyiddin
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, meminta menantu bekas Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang pengarah syarikat supaya pulang ke Malaysia, dan tidak memberi sebarang alasan lagi.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM mencari Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dan peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS), Mansoor Saat, bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
“Saya tetap dengan pendirian saya. Awak balik saja dan hadapi apa jua siasatan dan jangan bagi banyak alasan, saya tidak mahu dengar.
“Mungkin cakap saya ini cakap yang orang tidak suka, tetapi itulah saya. Jadi awak berdua, balik sahaja dan jangan bagi alasan,” katanya kepada pemberita selepas Forum Eksekutif Merdeka; Tadbir Urus Terbaik Dalam Sektor Awam pada Khamis.
Pada 9 Ogos lepas Muhammad Adlan menerusi kenyataan oleh peguamnya memaklumkan, beliau tentunya akan pulang ke Malaysia secepat mungkin bagi memberikan kesemua jawapan dan membantu SPRM dalam apa-apa siasatan, selagi tiada unsur ancaman dan penganiayaan terhadapnya.
Mansoor dalam kenyataannya pada Khamis, menyangkal dakwaan kononnya beliau melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan, sebaliknya tindakan keluar dari Malaysia dibuat secara sah atas urusan perniagaan dan telah memberi kerjasama kepada SPRM yang mengetahui keberadaannya.
BACA: Patutlah meremang bulu roma bila lalu, rupanya LRT Kelana Jaya bawah tanah perkuburan