Tindakan adik Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Abdul Hakim, menyertai PAS tidak memberi kesan kepada parti Melayu itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi, menyatakan bahawa Hakim bukanlah
individu berpengaruh dalam UMNO yang mampu memberikan kelebihan kepada PAS.
“UMNO tidak terkejut Hakim masuk PAS. UMNO terus bergerak. Mad Tyson (Muhammad Muhd Taib) telah kembali kepada UMNO.
Kita tunggu Annuar Musa. Apa yang PAS dapat daripadanya? Kalah lagi teruk di Nenggiri.
“Tidak ada apa yang menarik dalam PAS, baik dari segi iman, kelangsungan politik, atau perjuangan Islam. UMNO tidak terkesan siapa yang keluar parti.
Di bawah Zahid, UMNO mempunyai kuasa tawar-menawar tersendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Abdul Hakim secara rasmi menyertai PAS selepas menyerahkan borang keahlian kepada Presiden parti itu, Abdul Hadi Awang, di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur.
Penyertaan Abdul Hakim ke dalam parti Islam itu diumumkan oleh Yang Dipertua PAS Bagan Datuk, Mohd Misbahul Munir Masduki.
“Hari ini dalam sejarah. Adik Presiden UMNO, Zahid Hamidi, telah menyertai PAS secara rasmi. Alhamdulillah,” kata Mohd Misbahul dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook PAS Parit Buntar.
Turut kelihatan dalam video tersebut ialah Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman.
Sementara itu, Mohd Puad secara sinis menyatakan bahawa individu yang lebih layak menerima penghargaan kerana menyertai PAS adalah Muhammad Muhd Taib dan Annuar Musa.
Ini kerana kedua-dua tokoh ini merupakan bekas pemimpin kanan UMNO, tetapi Muhammad, yang juga bekas menteri besar Selangor, telah kembali ke pangkuan UMNO.
“PAS mengatakan ‘hari ini dalam sejarah’ apabila Hakim, adik Presiden UMNO, menyertai PAS. Sepatutnya, yang lebih layak menerima pengiktirafan itu adalah Muhammad atau Annuar.
“Mereka berdua adalah bekas naib presiden dan setiausaha agung UMNO. Hakim bukan seorang yang berpengaruh. Mungkin dia pandai berniaga. PAS jangan lebih sudu dari kuah,” tambahnya.
Mohd Puad juga mengingatkan PAS bahawa parti lain, seperti Amanah, tenang apabila anak bekas mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz, bertanding atas tiket parti itu di DUN Cempaka pada tahun 2018.
Beliau juga mengingatkan PAS bahawa bekas presiden PAS, Asri Muda, menjadi ahli UMNO dari tahun 1989 hingga dia meninggal dunia pada tahun 1992.
BACA: Betul ke onani punca kulit naik jerawat? Doktor ini tampil beri penjelasan