Bangladesh gesa Putrajaya selesaikan isu visa pekerja asing terkandas

Bangladesh gesa Putrajaya selesaikan isu visa pekerja asing terkandas

Kerajaan Bangladesh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dalam usaha menyelesaikan masalah ribuan pekerja asing yang terkandas di negara mereka akibat pandemik Covid-19.

Semalam, kira-kira 25,000 pekerja asing dilaporkan pulang ke Bangladesh untuk bercuti, tetapi tidak dapat kembali semula ke Malaysia untuk bekerja, selepas Covid-19 mula merebak awal tahun ini.

Sekumpulan pekerja mengadakan demonstrasi di Dhaka pada Isnin lalu untuk menggesa kerajaan mereka campur tangan supaya mereka boleh kembali ke Malaysia. Mereka berkata, visa kebanyakan pekerja asing terbabit sudah tamat tempoh.

Mereka juga meminta kerajaan Bangladesh memberikan bantuan kewangan kepada mereka kerana menganggur lebih 7 bulan.

Semalam, Setiausaha Luar Bangladesh, Masud Momen berbincang dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Haznah Md Hashim menerusi mesyuarat dalam talian mengenai perkara itu dan meminta sokongan Putrajaya untuk menyelesaikan masalah pekerja terkandas.

New Age Bangladesh memetik sumber diplomatik sebagai berkata, Masud menggesa Putrajaya menguruskan visa pekerja terbabit.

Menurut organisasi berita itu, Haznah berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada pihak berkuasa berkaitan di Malaysia.

Beliau turut mencadangkan isu berkaitan pekerja terkandas boleh dibincang dalam kumpulan kerja bersama kedua-dua negara berhubung pekerja, kata laporan itu.

Ia memetik seorang diplomat sebagai berkata, kumpulan kerja bersama itu mengadakan mesyuarat berdasarkan keperluan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/04/bangladesh-minta-bantuan-putrajaya-selesai-krisis-pekerja-asing-terkandas/