Bantuan kecemasan perlu disegerakan ke Sabah – Anwar

Bantuan kecemasan perlu disegerakan ke Sabah – Anwar

Pembangkang menggesa kerajaan memberikan bantuan kecemasan kepada Sabah susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di negeri itu.

Ketuanya Anwar Ibrahim berkata, bantuan kecemasan itu mungkin boleh dilakukan dalam bentuk kewangan dan makanan kepada rakyat yang terkesan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di negeri itu.

“Ini sangat penting dalam memastikan warga yang terpinggir dapat meneruskan hidup. Saya mengulangi gesaan saya sebelum ini pada kerajaan agar melanjutkan moratorium pinjaman ke seluruh negara sebagai langkah segera kepada rakyat dan PKS di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar turut menyatakan kebimbangan beliau berikutan jumlah kematian yang tinggi di Sabah.

Beliau meminta kementerian lain dengan seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menggerakkan pasukan dan kelengkapan perubatan ke Sabah secara meluas tanpa mengharapkan ia diurus Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja.

Presiden PKR itu juga mencadangkan saringan secara besar-besaran bagi mengekang penularan Covid-19 seperti dicadangkan pakar.

“Kementerian Kesihatan mesti mendedahkan kepada umum sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak ini di Sabah, apakah ianya secara pengujian atau langkah dan strategi yang lain.

“Adalah sangat penting bahawa segala data mengenai kes, pengujian dan kadar kematian dibagikan secara terbuka dengan pakar-pakar dan pegawai-pegawai kesihatan yang bekerjasama dengan pemerintah dalam mengekang wabak ini. Kekurangan maklumat akan menghalang pakar-pakar perubatan di seluruh negara daripada memberikan bantuan dan kepakaran yang mereka ada. Dasar dan kebijakan maklumat yang terbuka akan meningkatkan kepercayaan rakyat pada kerajaan, terutama dalam suasana pandemik saat ini,” katanya.

Jangkitan Covid-19 hari ini dilaporkan masih melebihi 800 kes sejak semalam, dengan 865 kes baharu berbanding 871 kes dilaporkan semalam.
Daripada jumlah itu, 858 daripadanya kes tempatan.

Sabah masih melaporkan jangkitan tertinggi, iaitu 643 kes. Selangor melaporkan 107 kes, Labuan (34), Pulau Pinang (26), Perak (18), dan Melaka (16).

Ketika ini, seramai 7,456 kes sedang dirawat, dengan 99 mangsa berada di unit rawatan rapi. Seramai 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Sehingga kini Malaysia mencatatkan 21,363 kes positif Covid-19.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/19/pembangkang-gesa-bantuan-kecemasan-kepada-sabah/