“Saya sedih kejadian yang pernah berlaku terhadap anak (Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain) berulang kepada penuntut lain.”
Itu luahan hati Zulkarnain Idros, 60, bapa kepada arwah Zulfarhan, yang berkongsi rasa dukacitanya
Berhubung insiden yang menimpa seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM) yang cedera akibat ditekap seterika, dipercayai dibuli oleh senior.
Menurut Zulkarnain, beliau mengetahui tentang kejadian tersebut selepas membaca laporan media yang dihantar oleh isterinya melalui aplikasi WhatsApp, semalam.
“Saya terkejut kerana masih ada kes buli yang berlaku kepada penuntut UPNM. Saya ingatkan kes arwah anak adalah yang terakhir, tetapi ternyata ia masih berulang.
“Dakwaan mangsa ditekap dengan seterika, tidak kira sama ada seterika biasa atau wap, ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana bukan sahaja menyakitkan dan menyeksakan, tetapi ia meninggalkan kesan mendalam buat mangsa.
“Seperti apa yang berlaku kepada arwah anak saya yang mempunyai 90 kesan tekapan seterika wap panas. Sehingga kini, saya tidak mampu melupakan kesengsaraan yang dialami arwah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Zulkarnain turut berpandangan bahawa laporan siasatan kejadian ini wajar didedahkan kepada pengetahuan umum agar ia menjadi pengajaran kepada pihak lain.
Beliau berkata, pihak universiti harus memandang serius kejadian tersebut yang telah berlaku buat kali kedua, meskipun tidak mengakibatkan kehilangan nyawa.
Selain itu, Zulkarnain menyarankan agar akta antibuli diwujudkan bagi menangani peningkatan kes buli yang melibatkan penderaan fizikal, mental, dan seksual.
“Sehingga kini, tiada undang-undang khusus bagi kes buli di sekolah dan institut pengajian tinggi. Peningkatan kes buli kebelakangan ini adalah petanda kecemasan yang memerlukan tindakan segera dari pihak berwajib,” katanya.
Terdahulu, seorang pegawai kadet tahun dua di ALK-UPNM Sungai Besi dipercayai menjadi mangsa buli dan dera baru-baru ini.
Menurut sumber, mangsa yang sedang mengikuti jurusan kejuruteraan itu dipercayai dibuli oleh penuntut senior, dan kejadian ini terbongkar selepas pemeriksaan berkala dilakukan oleh jurulatih bertugas yang menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
BACA: Warna hitam macam tak sedap? Ini jawapan apa beza asam keping warna hitam dan perang