Seorang wanita nekad membuat pendedahan mengenai sisi gelap wakil rakyat yang dipanggilnya bapa untuk memberikan pengajaran kepada orang ramai.
Tanpa mendedahkan identiti, wanita berkenaan mengakui bapanya itu bersikap zalim terhadap keluarga namun pada masa yang sama cukup dihormati oleh masyarakat.
Mendakwa menerima kifarah di atas perbuatan bapanya, berikut perkongsian wanita yang mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada orang tuanya sendiri.
“Bapa aku dahulu seseorang yang dihormati dalam masyarakat. Memiliki perniagaan dan pernah diangkat menjadi wakil rakyat suatu ketika dahulu.
Namun beliau ada sisi gelap sebenarnya. Bapa pernah berlaku curang terhadap isteri iaitu ibu aku dengan hampir 10 orang perempuan.
Itu yang diketahui. Yang tiada dalam senarai?
“Kifarah itu pula terpaksa aku hadapi sebagai anak perempuan. Aku dipermainkan oleh lelaki. Waktu itu, aku muda dan juga agak bodoh. Apabila dapat tahu daripada ibu yang bapaku pernah menjadi kaki perempuan, barulah aku faham. Mungkin apa yang terjadi pada diriku adalah kifarah bapa sendiri.
“Selain culas nafkah, beliau banyak menganiaya keluarga sendiri. Di luar sana, bapa dipandang hebat. Tetapi di rumah, bapa tipu duit keluarga dan saudara-mara untuk kepentingan sendiri.
Duit yang ibu simpan selama bertahun-tahun juga dicurinya demi menaikkan nama di medan politik.
“Ketika anak berjaya di sekolah dan universiti, beliau tidak datang untuk meraikan. Malah menghina pula. Ada sahaja yang kurang atau tidak cukup baik. Kalau dapat gred B, akan dimarah kenapa tidak dapat A. Kalau dapat A, dipersoal kenapa tidak dapat tempat pertama. Kalau dapat tempat pertama, tidak diucap tahniah.
“Bapa juga akan hina kenapa pakai baju buruk dan kotor. Padahal dia sendiri yang tidak pernah kisah atau belikan. Ketika menjadi wakil rakyat juga, beliau tidak menjalankan tanggungjawab. Sekadar bergambar dan memberi duit. Jika rakyat ke pejabat membawa masalah, bapa sekadar buat-buat dengar.
“Tetapi, langsung tiada tindakan diambil. Namun rakyat mula menyedarinya. Lalu, bermulalah kejatuhan bapa. Menjadi bahan kutukan orang. Kini beliau cuma orang tua yang menyendiri. Ada kalanya, aku risau juga sekiranya bapa meninggal dunia sebatang kara dan tiada siapa yang menjumpai jasadnya.
“Namun apabila anak mendekatkan diri, bapa cuba menipu duit kami demi kepentingan sendiri. Bukan ratus ringgit, tetapi ratusan ribu yang diminta. Jika tak ditolong, dihina pula.
Padahal anak-anak ada kehidupan masing-masing yang perlu ditanggung. Kasihan. Mahu rapat tetapi hati sakit. Semoga Allah permudahkan.” Kongsinya.
Baca juga ;Faizal Hussain mengaku tak bersalah cabul kehormatan bekas penyampai berita