Memulakan hidup sebagai pasangan baru berkahwin sering kali mencabar, apatah lagi jika perlu bermula dalam keadaan serba kekurangan.
Salah satu keperluan utama ialah mencari tempat tinggal untuk memulakan kehidupan baru sebagai suami isteri.
Namun, melalui satu perkongsian di TikTok, seorang lelaki bernama Fahmi menceritakan pengalaman seram yang dialaminya bersama isteri ketika menyewa sebuah rumah.
Pengalaman Mistik Bermula
Menurut Fahmi, empat tahun lalu, segalanya kelihatan biasa pada awalnya ketika mereka baru berpindah ke rumah teres dua tingkat tersebut.
Namun, tidak lama selepas itu, mereka mula mengalami gangguan aneh.
“Pada mulanya, semuanya nampak normal. Tapi beberapa hari kemudian, kami mula diganggu. Syukur, sepanjang pengalaman itu, ‘dia’ tak pernah menjelmakan diri,” katanya.
Insiden pertama berlaku ketika mereka hendak pergi kerja pada waktu pagi. Walaupun yakin telah menutup tingkap bilik tidur di tingkat atas, Fahmi mendapati tingkap itu terbuka semula.
“Saya buat tak tahu supaya tidak menakutkan isteri,” tambahnya.
Barang-Berubah Tempat dan Bunyi Misteri
Gangguan seterusnya melibatkan barangan dapur. Fahmi mendapati tin susu dan peralatan dapur sering berubah tempat, seolah-olah dipindahkan oleh sesuatu.
“Tiap pagi, barang dalam kabinet dapur sudah di luar. Kami hanya kemas semula,” imbasnya.
Gangguan bunyi juga menjadi sebahagian daripada pengalaman mereka.
“Pada tengah malam, kami pernah dengar bunyi air berkocak di tandas, siap ada bunyi batuk-batuk,” ceritanya.
Kejadian Paling Seram
Insiden paling menyeramkan berlaku apabila sepasang kasut isteri dan selipar mereka hilang secara misteri, namun ditemui dalam kereta yang berkunci.
“Muka isteri terus pucat. Saya tahu ada yang tak kena dengan rumah itu,” kata Fahmi.
Gangguan di Rumah Jiran
Fahmi kemudian bertanya kepada jiran sebelah rumah mengenai gangguan tersebut. Rupa-rupanya, jiran itu turut mengalami gangguan makhluk halus dan sedang berusaha menghalaunya dengan bantuan ustaz.
Nekad Berpindah
Akhirnya, Fahmi membuat keputusan untuk berpindah demi keselamatan isterinya yang sedang hamil. Namun, sebelum berpindah, mereka mengalami gangguan terakhir yang lebih dahsyat.
“Dalam pukul 2 pagi, siling bilik tidur kami bergegar kuat seperti mahu roboh. Saya geram dan marah ‘benda’ itu. Selepas itu, saya demam hampir dua minggu,” katanya.
Pengalaman tersebut menjadi pengajaran besar bagi Fahmi yang sebelum ini kurang percaya pada perkara mistik.
“Alhamdulillah, saya, isteri, dan anak kini selamat,” katanya menutup cerita.
BACA: ‘Bukan sekadar mesej, video pun ada’ Lain pula jadi bila Abang Viva dedah perangai sebenar isteri