Selepas berlaku kematian, salah satu perkara penting yang perlu diuruskan oleh waris adalah pembahagian harta.
Apabila seorang suami meninggal dunia, semua harta yang atas nama arwah dianggap sebagai harta pusaka.
Walau bagaimanapun, masih ramai yang kurang memahami tentang pembahagian harta, terutamanya mengenai hak isteri dan waris-waris lain.
Salah satu persoalan yang sering timbul adalah sama ada isteri boleh menuntut wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik arwah suaminya sebagai harta sepencarian.
Peguam Syarie, Fahmi Ramli daripada Firma Guaman Fahmi Ramli & Co., menjelaskan perkara ini dengan jelas.
Berikut adalah empat persoalan penting yang perlu diketahui oleh kaum isteri mengenai isu ini:
Adakah KWSP dikategorikan sebagai harta sepencarian?
Ada yang beranggapan KWSP adalah harta sepencarian dengan menyatakan bahawa hasil pendapatan suami melibatkan sumbangan tidak langsung isteri dalam menguruskan anak dan rumah tangga.
Namun, ini adalah salah kerana menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000, KWSP adalah hak suami. Oleh itu, wang KWSP adalah pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid kerana ia dicarum oleh si mati semasa hayatnya, maka wang tersebut milik si mati.
Jika tidak menuntut harta sepencarian, bolehkah isteri sebagai penama menerima semuanya?
Penama dalam KWSP bukanlah penerima hibah atau pemilik penuh selepas kematian seseorang. Penama hanya berfungsi sebagai pentadbir harta atau pemegang amanah si mati untuk memudahkan waris menerima wang KWSP. Untuk mendapatkan perintah pusaka memerlukan masa dan proses yang lebih lama, tidak boleh selesai dalam tempoh singkat.
Apa tugas penama KWSP?
Menurut keputusan muzakarah, penama KWSP hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid. Ini bermakna, walaupun seseorang dinamakan sebagai penama KWSP, dia hanya memegang amanah untuk membahagikan duit peninggalan si mati mengikut bahagian faraid, bukan untuk miliknya seorang sahaja.
Bolehkah dibuat hibah duit KWSP?
Pada pandangan saya, KWSP tidak boleh dihibahkan kerana ia belum dianggap milikan penuh sehingga mencapai tempoh matang untuk diterima oleh pekerja.
Namun, jika wang tersebut sudah berada dalam milikan penuh, seperti dikeluarkan sewaktu PKP tahun lepas, anda boleh menghibahkannya.
Namun, ‘hibah bersyarat’ untuk menerima wang KWSP selepas kematian pencarum adalah tidak dibenarkan. Ini bertentangan dengan keputusan muzakarah.
Bahkan, dalam kes Re Ismail Bin Rentah (si mati) [1939] FMSLR, Hakim memutuskan bahawa penama tidak boleh dianggap sebagai penerima hibah kerana tidak ada pindah milik kepada orang yang menerima. Oleh itu, mengikut undang-undang Islam, jumlah itu perlu dibahagikan kepada semua waris.