Biasanya, selepas menunaikan solat Subuh, ada yang memilih untuk tidur seketika sebelum memulakan aktiviti harian.
Namun, pernahkah anda tertanya-tanya mengenai hukum tidur selepas waktu Subuh, Asar, dan Maghrib?
Berikut adalah penjelasan penuh mengenai hukum tidur selepas ketiga-tiga waktu tersebut.
Hukum Tidur Selepas Subuh
Menerusi perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, walaupun tiada nas yang secara jelas melarang tidur
selepas Subuh, terdapat banyak galakan untuk menghidupkan amalan selepas waktu tersebut.
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah umatku di waktu pagi.” (Riwayat Abu Daud, 2606. Syeikh Al-Albaani menilainya sahih).
Hadis ini menunjukkan betapa Rasulullah SAW sangat mementingkan pengurusan masa, terutamanya di awal pagi. Baginda menganjurkan umat Islam untuk berzikir atau keluar bekerja mencari rezeki selepas Subuh. Oleh itu, para ulama juga menjaga waktu selepas Subuh agar diisi dengan perkara yang bermanfaat dan berpahala.
Kesimpulannya, hukum tidur selepas Subuh adalah dibolehkan dan tidak menjadi satu halangan. Namun, yang terbaik adalah meninggalkannya bagi menghidupkan waktu pagi dengan amalan yang bermanfaat, kecuali bagi mereka yang bekerja pada waktu malam dan perlu tidur selepas Subuh, ia juga tidak menjadi kesalahan.
Hukum Tidur Selepas Asar
Tiada hadis sahih yang menyebut secara khusus mengenai hukum tidur selepas waktu Asar. Namun, menurut pengalaman (tajrubah), tidur pada waktu ini dikatakan boleh mengganggu kestabilan akal dan membawa kepada kemudaratan. Oleh itu, perbuatan ini sebaiknya dielakkan kerana setiap individu harus menjauhkan diri daripada perkara yang boleh memudaratkan.
Namun, jika seseorang memerlukan atau berhajat untuk tidur pada waktu tersebut, ia dibolehkan.
Hukum Tidur Selepas Maghrib
Terdapat hadis dalam Sahih Bukhari yang melarang tidur antara Maghrib dan Isyak:
عَنْ أَبِي بَرْزَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَان َ يَكْرَهُ النَّوْمَ قَبْلَ الْعِشَاءِ
Maksudnya: “Menurut Abu Barzah, Rasulullah SAW tidak suka tidur sebelum Isyak dan berbual kosong selepasnya.”
Sebahagian ulama menyatakan bahawa larangan ini berkait dengan waktu antara Maghrib dan Isyak. Namun, menurut pandangan mazhab Maliki dan Hanbali, hukumnya makruh untuk tidur pada waktu ini.
Allah SWT menjadikan tidur sebagai cara untuk kita berehat setelah sibuk bekerja pada siang hari. Tidur pada waktu malam mengembalikan tenaga untuk beraktiviti pada keesokan harinya, dan begitu juga sebaliknya bagi mereka yang bekerja pada waktu malam.
BACA: Wanita mengadu dipaksa jual maruah demi selesaikan hutang bapa, sekali ada plot twist!