Video yang viral di media sosial menunjukkan warga asing yang dikenakan tindakan saman oleh polis trafik.
Dalam video yang dimuat naik di laman YouTube, seorang pasangan suami isteri dari United Kingdom (UK) disaman kerana didakwa memandu melebihi had laju.
Dalam video yang dikongsi semula di laman lain hingga menjadi viral,
seorang lelaki yang dipercayai sebagai anggota polis trafik memberitahu pasangan tersebut ada dua pilihan untuk membayar saman.
“Dapat saman ini, anda boleh bayar di balai polis atau bayar di sini. Pergi ke balai polis, bayar RM300, bayar di sini RM100,” kata lelaki berpakaian seragam tersebut.
Pasangan tersebut kemudian diberi peluang untuk memilih membayar saman sebanyak RM100 dengan menyerahkan wang tersebut kepada anggota polis.
Walau bagaimanapun, tarikh dan lokasi kejadian tidak dinyatakan dalam rakaman tersebut.
Namun, yang menjadi perbualan adalah pilihan yang diberikan oleh anggota polis kepada pasangan warga asing tersebut.
“Tidak tahu bahawa kami ada pilihan begini,” soal individu yang memuat naik video tersebut.
Di ruangan komen, netizen ramai mengesyaki tindakan ini sebagai perbuatan rasuah dan mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Kesalahan tetap kesalahan, saman sahaja, tidak perlu ada tawaran untuk membayar di luar. Tetapi cara pembayaran di luar ini boleh mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia jika video ini tersebar. PDRM sepatutnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap anggota yang terlibat.
“Memalukan sungguh. Masalah rasuah ini benar-benar sistemik. Apa ini PDRM?” demikian antara komen netizen.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak polis mengenai video yang menjadi viral tersebut.
BACA: Model tertua dunia ini masih bekerja pada usia 93 tahun, tapi wajah tak dimamah usia langsung!