Beli ahli guna wang : Pemuda Umno sedia jumpa Bersatu di mahkamah

Beli ahli guna wang : Pemuda Umno sedia jumpa Bersatu di mahkamah

Pemuda Umno sedia untuk bersemuka dengan Bersatu di mahkamah berhubung dakwaan Bersatu membeli ahli parti itu.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian selepas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang susulan dakwaan yang dibuat Asyraf.

“Sejujurnya saya harapkan jawapan sekurang-kurangnya ‘kami akan menyiasat dakwaan itu’, bukannya mengugut untuk menyaman.

“Jika ketua penerangan Bersatu mahu meneruskan saman, kami Pemuda Umno mengalu-alukannya dan akan mengambil peluang di mahkamah nanti untuk mendedahkan segala bukti di hadapan hakim kelak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu hari ini, Asyraf antara lain mendakwa banyak aduan di kalangan ahli dan pemimpin akar umbi Umno berkenaan Bersatu yang galak ‘mencuri’ dan ‘membeli’ahli Umno.

“Ada yang mengaku bahawa setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000,” katanya.

Dia membangkitkan artikel BH Online baru-baru ini memetik Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin bahawa parti itu berhasrat memiliki 8,000 cawangan dalam masa tiga bulan.

Hamzah juga dilaporkan berkata partinya tidak memikat ahli Umno tetapi terserah kepada mereka untuk menyertai Bersatu.

Wan Saiful kemudian menyifatkan kenyataan Asyraf sebagai tuduhan liar tanpa bukti dan tidak boleh diterima, serta menuntutnya memohon maaf dan menarik balik tuduhan.

Dalam pada itu, Asyraf mempertahankan dakwaannya dan berkata perkara itu tidak akan membantu dalam memperkukuh kerjasaman antara Umno dan Bersatu.

“Sebagaimana yang saya sebutkan dalam kenyataan (tadi), terlalu banyak aduan akar umbi Umno seluruh Malaysia yang mendakwa berlakunya persaingan sehingga berlaku usaha membeli dan mencuri ahli,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557396