Seorang anggota polis wanita telah bakar suaminya hidup-hidup kerana lelaki tersebut sering terlibat dalam aktiviti perjudian.
Kejadian tersebut berlaku di kediaman pasangan suami isteri tersebut di Kota Mojokerto, wilayah Jawa Timur pada pagi kelmarin.
Suspek yang dikenali sebagai Fadhilatun Nikmah dikatakan telah membakar suaminya, yang juga seorang anggota polis,
kerana mangsa kerap menggunakan wang gajinya untuk bermain judi dalam talian.
“Dia sering menghabiskan wang belanja yang sepatutnya digunakan untuk menyara hidup tiga anak kami.
Malahan, gaji itu digunakan untuk bermain judi dalam talian,” kata Fadhilatun.
Fadhilatun mengakui dia sukar mengawal kemarahannya selepas mengetahui bahawa gaji mangsa hanya tinggal 800 ribu rupiah (RM231.71) akibat dari perjudian.
Pegawai polis tempatan, Daniel S Marunduri menyatakan bahawa mangsa mengalami kecederaan yang teruk dan telah dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 12.55 tengah hari semalam.
“Dia mengalami kecederaan yang melecur sehingga 90 peratus dan nyawanya tidak dapat diselamatkan,” kata Daniel seperti laporan dari laman berita Detiknews.