Bergambar beramai-ramai meraikan pengantin baru bawa padah, kena kompaun RM19,000

Bergambar beramai-ramai meraikan pengantin baru bawa padah, kena kompaun RM19,000

Asyik merakam gambar kenangan secara berkumpulan berhampiran sebatang sungai, seramai 19 individu termasuk pasangan pengantin ditahan polis dan dikenakan kompaun, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata anggotanya yang membuat rondaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi di sekitar kawasan perumahan di Ayer Hangat, mengesan kehadiran kumpulan berpakaian sedondon itu kira-kira 6.30 petang.

“Ketika rondaan, anggota polis melihat kumpulan berkenaan membabitkan sepasang pengantin dan 17 individu termasuk pengiring pengantin (seorang lelaki, 16 perempuan) berada berhampiran sungai dan bergambar beramai-ramai.

“Hasil siasatan mendapat mereka tinggal di kawasan perumahan berkenaan dan ada yang datang daripada beberapa lokasi lain sekitar pulau ini,” katanya, hari ini.

Sekumpulan individu berpakaian sedondon ditahan polis kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, di Taman Nilam, Langkawi. - Foto Tular di Media Sosial

Shariman berkata, anggotanya menahan mereka kerana berkumpul dan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk keluar rumah.

Katanya, mereka yang berusia antara 17 hingga 28 tahun itu dibawa ke Balai Polis Kuah untuk proses dokumentasi dan masing-masing dikompaun RM1,000 setiap seorang sebelum dibebaskan.

Pada 28 Januari lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan nikah, cerai serta rujuk dibenarkan seperti biasa mengikut SOP ditetapkan mulai Isnin (1 Februari) manakala majlis akad nikah hanya dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah. – BH