Berniaga guna mesin vending raih RM15k sebulan, ini cara mohon berniaga mesin vending dengan kerajaan

Oleh ISMAIL YAHYA

Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Ekonomi untuk mengatasi golongan miskin tegar, yang telah dilaksanakan sejak tahun 2023.

Menurut laporan Bernama, peruntukan sebanyak RM750 juta telah disediakan kepada Kementerian Ekonomi tahun lalu

untuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan tujuan membantu kira-kira 130,000 golongan termiskin.

Dalam tempoh pemantauan 24 bulan, peserta IPR diarahkan untuk mencapai pendapatan bulanan antara RM2,000 hingga RM2,500.

Selepas tempoh tersebut, mereka diharapkan dapat menjana pendapatan sendiri melalui pelbagai usaha.

Berniaga guna mesin vending raih RM15k sebulan, ini cara mohon berniaga mesin vending dengan kerajaan

Salah satu program di bawah IPR, yang dikenali sebagai Usahawan Makanan (INSAN), menyediakan peluang berniaga melalui mesin layan diri. Inisiatif ini telah terbukti berjaya membantu golongan sasaran sehingga beberapa di antara mereka mampu meraih pendapatan bulanan sehingga RM15,000.

IPR bertujuan untuk meningkatkan pendapatan keluarga miskin tegar dan golongan B40, sambil menangani masalah ekonomi harian melalui pelbagai inisiatif. Ini termasuklah usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan rakyat melalui sektor pertanian, perniagaan makanan, dan perkhidmatan.

Inisiatif ini turut mewujudkan hubungan erat antara pemohon, pemegang taruh, dan masyarakat setempat. Terdapat tiga kategori inisiatif di bawah IPR iaitu Usahawan Tani, Usahawan Makanan, dan Operator Perkhidmatan.

Berikut merupakan sasaran penggerak IPR untuk membantu atau dipadankan dengan golongan pemohon ini.

Inisiatif Usahawan Tani (INTAN)

-Syarikat pertanian
-Rantaian peruncitan makanan
-Pengeksport
-Agensi-agensi kerajaan berkaitan
-Koperasi

Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN)

-Pengusaha mesin menjual layan diri (vending machine)
-Syarikat-syarikat yang ingin menyediakan kemudahan makanan kepada pekerja-pekerja mereka
-Pemilik atau pengusaha premis-premis agensi kerajaan pada peringkat Persekutuan dan Negeri
-Institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti yang berhasrat untuk menggunakan mesin menjual untuk menyediakan makanan kepada pelajar, staf dan pelawat
-Stesen-stesen LRT
-Hospital dan kemudahan kesihatan yang berhasrat untuk menggunakan mesin menjual untuk menyediakan makanan kepada pesakit, pelawat dan staf

Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN)

-Syarikat-syarikat swasta yang memerlukan pekerja-pekerja sambilan untuk tujuan pembersihan premis
-Premis-premis agensi kerajaan

Syarat kelayakan memohon Inisiatif Pendapatan Rakyat

Sekiranya anda ingin memohon IPR, terdapat dua syarat yang anda perlu penuhi.

Pertama, anda mestilah berwarganegara Malaysia, manakala syarat kedua pula anda adalah daripada kumpulan sasar iaitu golongan berpendapatan B40 dan miskin tegar.

Cara permohonan dan pendaftaran Inisiatif Mesin Layan Diri

Menurut portal rasmi IPR lagi, sekiranya anda memenuhi syarat-syarat permohonan di atas, anda boleh menghantar permohonan untuk menyertai program IPR ini dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

Anda boleh melayari laman sesawang IPR secara atas talian di pautan

https://ipr.epu.gov.my/sign_up.

Lengkapkan pendaftaran akaun terlebih dahulu.
Sahkan akaun anda dengan mengklik pautan yang dihantar ke emel anda.

Kemudian, anda perlu log masuk ke akaun yang telah didaftar.

Lengkapkan permohonan dengan mengisi segala butiran yang diperlukan.

Mudah sahaja. Selamat mencuba.

BACA: Patutlah masih diseludup, terdedah komplot jahat stesen minyak dan sindiket