Bersatu beri keizinan Pas bertanding lebih kerusi di Terengganu

Bersatu beri keizinan Pas bertanding lebih kerusi di Terengganu

PPBM Terengganu bersetuju jika PAS diberikan lebih kerusi di negeri itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi PPBM Terengganu Razali Idris berkata, persetujuan itu mengambil kita jumlah kerusi yang dimenangi PAS dalam piliha nraya lalu, iaitu lebih 2/3 kerusi.

“Di Terengganu saya setuju PAS mendapat kerusi majoriti kerana mereka menang 2/3 dalam pilihan raya lepas. Itu kita tidak boleh nafi, PAS dapat 22 daripada 32 kerusi DUN dan 6 daripada 8 kerusi Parlimen.

“Di peringkat negeri kita belum ada rundingan kerusi lagi cuma secara dasarnya kita setuju PAS dapat lebih kerusi,” katanya kepada FMT.

Razali bagaimanapun berkata, PPBM Terengganu berhasrat untuk bertanding 8 kerusi DUN jika dipersetujui semua pihak.

“PPBM hanya cadang untuk dapatkan 8 kerusi DUN sahaja, iaitu di setiap kawasan Parlimen, kita bercadang tanding 1 DUN. Itu cadangan,” katanya yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM.

Razali berkata, berdasarkan maklumat daripada perbincangan awal pemimpin parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), setiap kerusi baik Parlimen atau DUN yang dimenangani atau dipunyai PAS, Umno dan PPBM akan dikekalkan, termasuk mereka yang bertukar parti.

Katanya, kaedah rundingan ke-2 juga dicadangkan melalui pertukaran kerusi antara rakan PN.

“Contohnya PAS ada 6 kerusi Parlimen di Terengganu, ia tiada kerusi misalnya di Selangor atau Johor, jadi kalau ia beri 2 di Terengganu, PAS akan dapat balik 2 kerusi di negeri lain. Jadi akan ada timbal balik, begitu juga dengan parti lain.

Razali berkata, kaedah rundingan tersebut hanya di peringkat cadangan dan keputusan muktamadnya akan dibuat oleh pemimpian parti secara konsesus dan diterima semua pihak.

Katanya, perkara paling penting dalam pembahagian kerusi ialah tidak berlaku pertembungan sesama sendiri antara parti yang menyokong PN.

“Maknanya kalau Umno sudah letak calon, PAS tidak letak calon, PPBM tidak letak calon, perbincangan ini bukan sahaja menjurus di peringkat negeri tetapi seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, proses agihan kerusi antara parti dalam PN dan Muafakat Nasional (MN) telah banyak diselesaikan, namun jumlahnya belum dimuktamadkan.

Hadi juga dilaporkan berkata, parti itu bakal mendominasi sejumlah besar kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/09/25/ppbm-terengganu-setuju-pas-diberi-lebih-kerusi/