Bersatu Johor yakin dapat banyak kerusi untuk bertanding PRU15

Bersatu Johor yakin dapat banyak kerusi untuk bertanding PRU15

Di sebalik kecaman dan kritikan diterima Bersatu Johor bukan sahaja yakin dapat mempertahankan kerusi sedia ada pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, malah akan dapat menambah bilangannya.

“Kita yakin Bersatu boleh tambah (kerusi) di tempat-tempat lain yang sebelum ini kurang pengalaman dan pendedahan.

“Selepas ini (PRU akan datang) kita akan letakkan seseorang yang lebih dikenali (prominent), yang ada bakat, berkelayakan,” kata seorang pemimpin Bersatu Johor yang enggan didedahkan identitinya.

Bercakap kepada Malaysiakini, sumber berkenaan memberitahu isu pengagihan kerusi ada dibincangkan dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Dengan adanya ramai calon dalam kalangan pemimpin di peringkat bahagian, kata beliau, Bersatu tidak akan menghadapi masalah untuk mempertahankan kerusi mereka.

“Kita ada ramai ketua bahagian, yang engineer (jurutera), yang profesional. Jadi kita yakin akan dapat lebih banyak kerusi,” katanya.

Bagaimanapun, sumber itu tidak dapat mendedahkan berapa banyak kerusi tambahan yang disasarkan.

Milik Bersatu kekal Bersatu

Isu pembahagian kerusi memang diramal menjadi kemelut buat parti dalam Perikatan Nasional (PN) sebelum ini namun ia tidak begitu diperkatakan sehinggalah Ahli Parlimen Mersing, Dr Abdul Latiff Ahmad, membuat kenyataan mendakwa Umno kini tidak lagi laku di Sabah.

Abdul Latiff bagaimanapun sudah membuat permohonan maaf.

Pun begitu beliau – yang memenangi kerusi Mersing dengan tiket Umno-BN sebelum melompat ke Bersatu – terus menjadi sasaran kritikan pemimpin kanan Umno.

Antaranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menuntut kerusi Parlimen Mersing agar diberikan kepada parti itu. Ia menimbulkan persoalan terhadap nasib Abdul Latiff ketika beliau kini dilatik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Berdasarkan percaturan PRU ke-14 banyak kerusi menyaksikan pertembungan di antara Bersatu, Umno dan PAS. Ketiga-tiga parti itu kini bersama di bawah PN.

Untuk rekod, Abdul Latiff ialah seorang daripada bekas ahli parlimen Umno yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu selepas kekalahan BN pada PRU14 lalu.

Kata sumber itu dalam pertemuan mereka dengan Muhyiddin baru-baru ini ahli parlimen Pagoh itu ada menjelaskan beberapa asas perundingan dan garis panduan mengenai pembahagian kerusi sesama parti PN.

“Di mana kawasan yang sekarang dipegang oleh wakil Bersatu, kekal diwakili Bersatu,” katanya semalam.

Untuk kawasan yang diwakili oleh PH – misalnya parlimen Bakri yang diwakili Yeo Bee Yin – hal itu akan dibincangkan.

“Sama ada Bersatu, Umno, MCA, MIC atau PAS itu – akan dibincangkan,” katanya.

Bagi kerusi Muar pula – kini diwakili Syed Saddiq Syed Abdul Rahman – sumber terbabit berkata Bersatu akan mempertahankannya dengan calon yang lain.

Apabila ditanya mengenai sekiranya terdapat keberangkalian Umno akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh Bersatu, sumber tersebut menolak kemungkinan itu.

“Tak mungkin sebab kita dah ada perjanjian. Kalau kawasan tu letak oleh BN, dari kompenen mana pun, komponen lain tak bolehlah letak. Nanti bertanding kita sama kita.

“Sebab itu berbincang. Hingga saat akhir masih ada berbincang,” katanya.

Setakat ini di Johor, Bersatu menguasai kerusi di Pagoh (Muhyiddin), Muar (Syed Saddiq), Sri Gading (Shahruddin Md Salleh), Simpang Renggam (Maszlee Malik).

Bagi Tanjung Piai pula, ia asalanya dimenangi Bersatu melalui Allahyarham Dr Mohamed Farid Md Rafik (Bersatu) namun apabila pilihan raya kecil diadakan, BN merampasnya melalui Wee Jeck Seng dari MCA.

Berita penuh:

https://www.malaysiakini.com/news/533897