Bersatu sudah jadi ‘berdua’, Anwar serah pada Bersatu selesaikan perpecahan

Bersatu sudah jadi ‘berdua’, Anwar serah pada Bersatu selesaikan perpecahan

Kemungkinan anggota Parlimen Bersatu akan duduk di kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang merupakan “kebiasaan baru” di Dewan Rakyat nanti, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, ia selepas kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa beliau akan duduk di blok pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

“Ini satu ‘new normal’. Perdana menteri (daripada) Bersatu dan Dr Mahathir, yang bukan (sebahagian daripada) PH tapi duduk di blok pembangkang, juga daripada Bersatu.

“Sudah jadi berdua sekarang,” selorohnya, merujuk pihak dalam Bersatu yang berpihak kepada Muhyiddin yang juga presiden parti, dan kumpulan kecil yang menyokong Mahathir selaku pengerusi.

Anwar berkata demikian ketika mengulas seorang pengguna Facebook yang membangkitkan perkara itu, ketika siaran langsung di laman sosial itu hari ini.

Perpecahan dalam Bersatu berlaku apabila Muhyiddin membawa parti itu keluar daripada PH untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional. Mahathir dan beberapa anggota parlimen parti itu membantah langkah itu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata bergantung kepada Bersatu untuk menyelesaikan keadaan itu.

“Terserah kepada mereka…Sama ada parti ini dapat menyelesaikan perpecahan yang agak ketara.

“Dulu (orang) kata PKR berpecah, tetapi PKR masih satu blok, besar dan kuat. Mudah-mudahan mereka (Bersatu) pun begitu,” katanya lagi.

Dalam krisis politik negara pada Februari lalu, selain keluarnya Bersatu daripada PH, PKR turut kehilangan 11 anggota parlimen yang diketuai bekas timbalan presiden Azmin Ali.

‘Jangan hilang kemanusiaan’

Dalam hal berlainan, Anwar mengulang gesaannya agar rakyat Malaysia tidak hilang sifat kemanusiaan dalam isu pelarian Rohingya.

“Kita (Malaysia) perlu berusaha untuk melindungi mereka mengikut kemampuan, pada masa sama kita beri tekanan kepada kerajaan Myanmar,” katanya, yang maklum satu penyelesaian jangka panjang diperlukan untuk krisis kemanusiaan itu.

Pada 18 April lalu, dilaporkan TUDM menghalang bot yang membawa lebih 200 pelarian Rohingya daripada berlabuh di Langkawi.

TUDM dilaporkan memberikan bekalan makanan kepada mereka sebelum mengiringi bot berkenaan keluar dari memasuki perairan negara.

Isu pelarian Rohingya kemudian kembali diperkatakan, antaranya sejumlah komen bersifat perkauman dan xenofobia termasuk kepada Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani.

Zafar dituduh pernah membuat sejumlah tuntutan, termasuk agar pelarian Rohingya diberikan kerakyatan. Dia menafikan dakwaan itu dan berkata menerima ugutan bunuh akibatnya.

Terdapat juga petisyen atas talian yang menggesa kerajaan tidak membantu puluhan ribu pelarian Rohingya yang terjejas dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).