Bersatu tak perlu layan kenyataan Nur Jazlan, kata pemimpin Umno Johor

Bersatu tak perlu layan kenyataan Nur Jazlan, kata pemimpin Umno Johor

Kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa parti itu tidak akan memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanyalah pandangan peribadi.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berkata, Bersatu tidak perlu melayan kenyataan itu kerana hanya akan memecahbelahkan perpaduan sedia ada antara dua parti tersebut terutama di peringkat akar umbi.

“Hubungan Bersatu dengan UMNO Johor di bawah kepimpinan Pengerusinya, Datuk Ir Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar Johor amat baik dan perlu diteruskan demi kepentingan Bangsa Johor dan negeri ini.

“Diharapkan semua pihak di peringkat akar umbi kedua-dua parti akan meneruskan kerjasama. Jika ada sebarang isu yang timbul, biarkan pucuk pimpinan menanganinya dengan bijaksana dan semangat setia kawan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan beg sekolah, cecair nyah kuman dan wang tunai dalam Program Mari Kembali Ke Sekolah Norma Baharu di Taman Nong Chik di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat Nur Jazlan meminta Bersatu supaya tidak ‘bermimpi’ UMNO Johor akan memberi laluan, sebaliknya tetap dengan pendirian untuk tidak sesekali menyerahkan kesemua kerusi yang ditandingi mereka kepada Bersatu pada PRU15.

Sementara itu, Razrul Anwar berkata, semua pihak tidak perlu mengeruhkan lagi hubungan antara Bersatu dan UMNO ketika ini yang dilihat oleh ramai pihak bagaikan retak menanti belah.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/124835/BERITA/Politik/Hanya-kenyataan-peribadi-Nur-Jazlan