Bersungguh pertahan golongan kaya berbanding 85% rakyat marhaen, PMX pelik dengan ahli parlimen Pas Kelantan

Oleh GEMILANGDAILY

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik pihak yang terus mencetuskan kontroversi mengenai dasar pelarasan subsidi bahan api RON95

kepada golongan T15, yang disifatkannya sebagai usaha untuk mempertahankan golongan kaya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa golongan T15 yang dipertahankan, khususnya oleh pihak pembangkang,

adalah mereka yang memiliki saham sehingga RM2 juta dan juga menjana keuntungan daripada pelbagai sumber lain.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada golongan bawahan,

Bersungguh pertahan golongan kaya berbanding 85% rakyat marhaen, PMX pelik dengan ahli parlimen Pas Kelantan

iaitu 85 peratus rakyat yang sebenarnya tidak terjejas oleh pelarasan bahan api RON95 yang akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan.

“Kita tidak banyak bercakap tentang mempertahankan kepentingan golongan bawahan. Bagi kita, 85 peratus itu tidak penting; mereka hanya berfikir untuk mempertahankan orang yang memiliki saham RM2 juta.

“Itu adalah dalam satu syarikat yang bukan miliknya, bukan bangunan miliknya, dan bukan juga daripada keuntungan yang lain, tetapi hanya daripada pemilikan saham.

“Yang penting di sini adalah pelarasan subsidi RON95 tidak membebankan 85 peratus rakyat, jadi sepatutnya kita tidak menjadi jaguh T15 seperti yang diuar-uarkan oleh pembangkang,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kerajaan menjelaskan definisi T15 dalam pelaksanaan dasar pelarasan subsidi bahan api RON95.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang mempersoalkan penjelasan berbeza mengenai definisi T15 yang diberikan oleh kerajaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan menafikan perkara tersebut.

Menurut Anwar, tidak timbul isu kecelaruan tafsiran T15 kerana perkara itu masih dalam perbincangan dan sedang dirujuk kepada mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya mendengar ucapan Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli)… kita katakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini menetapkan pendapatan RM13,000 untuk T15, dan kita fikir ia agak rendah. Kenapa tidak dinaikkan ke RM15,000 atau RM20,000… itu sedang dibincangkan.

“Jadi, tidak ada percanggahan sama sekali,” ujarnya.

Anwar juga menggesa pembangkang sekiranya mempunyai cadangan yang lebih baik mengenai pelarasan subsidi bahan api RON95 untuk mengemukakannya kepada kerajaan.

“Saya harap YB (Pasir Puteh) jika ada cadangan lain, tetapi janganlah mencadangkan agar orang kaya tidak dikenakan cukai.

“Ini adalah cadangan yang sangat aneh dan bertentangan dengan prinsip yang kita mahu tegakkan, iaitu pengagihan kekayaan secara adil,” katanya.

BACA: 27 tahun abdikan diri kerja tanpa cuti, usaha warga emas 70 tahun buahkan hasil apabila anak jadi hakim, doktor dan engineer