Betul ke isteri yang izinkan suami kahwin lagi dapat payung emas? Ini jawapan Dr Zulkifli

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Dakwaan yang menyatakan bahawa isteri yang membenarkan suaminya berpoligami sebagai tindakan mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW dan akan diberi ‘payung emas’ di syurga adalah hadis palsu.

Penjelasan ini diberikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, seperti yang dipetik semula di laman X miliknya.

Betul ke isteri yang izinkan suami kahwin lagi dapat payung emas? Ini jawapan Dr Zulkifli

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan tersebut menjelaskan bahawa tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan penampilan luar ianya sunnah atau tidak. Sebaliknya, perlu melihat kepada maslahat perkara tersebut.

“Tiada ‘payung emas’ mahupun ‘free gift’ payung. Ia adalah hadis palsu.

“Sama juga dengan poligami. Kadang-kadang ia menjadi perlu dan kadang-kadang tidak perlu, bahkan boleh menzalimi.

“Hukum berpoligami itu sendiri boleh menjadi wajib, sunat, atau haram. Tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.

“Bincang dengan baik, beri nasihat, dan pandangan, demi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan juga anak-anak,” katanya dalam hantaran yang sebelum ini dimuat naik pada 1 Februari tahun lalu.

Beliau menyatakan pandangan ini ketika menjawab pertanyaan yang mengatakan seorang isteri akan masuk neraka kerana menentang poligami.

Mengutip pertanyaan individu tersebut, beliau memaparkan satu kenyataan daripada seseorang yang mendakwa wanita zaman kini ‘terlepas’ peluang meraih ‘payung emas’ di akhirat kerana menolak poligami.

“Banyak perempuan masuk neraka kerana menentang poligami. Ia adalah sunnah nabi. Wanita akhir zaman banyak yang mengejar nikmat dunia berbanding ‘payung emas’ di akhirat.

“Hebatnya akhlak wanita-wanita zaman sekarang. Patutlah mereka sangat ramai menguni neraka Jahannam. Wallahua’lam,” kata kenyataan tersebut.

Dr Zulkifli menambahkan bahawa sikap sebagai seorang muslim adalah tidak menentang sebarang syariat Allah SWT yang pasti mempunyai keperluan dan hikmah dalam keadaan tertentu.

“Kita cuma menolak sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu lantas mengabaikan hak-hak lain,” ujarnya.

BACA: “Aku gembira akhirnya kakak aku dapat apa yang dia nak, suami aku kini jadi abang ipar aku sendiri”