Melihat potensi minyak masak terpakai dalam menjana pendapatan, seorang bapa kepada dua anak, Mohd Hazim Mohd Mustazar, 33,
Beliau memulakan perniagaan pengurusan minyak masak terpakai sejak enam tahun lalu di sini.
Mohd Hazim kemudian meneroka lebih lanjut mengenai potensi, kelebihan, dan kepentingan bahan ini kepada komuniti, khususnya dalam usaha untuk melestarikan alam sekitar.
Dia yang kini menguruskan perniagaan tersebut di Taman Tasik Jaya, mengakui bahawa minyak masak terpakai
sebenarnya mempunyai nilai tersendiri dan boleh dikitar semula untuk dijadikan biodiesel, sebagai pengganti bahan api fosil yang lebih mesra alam.
“Saya memulakan perniagaan ini pada tahun 2019, dan sehingga kini kesedaran orang ramai mengenai minyak masak terpakai semakin meningkat. Mereka menjual kepada kami, dan biasanya kami memperoleh minyak masak terpakai dari peniaga kedai makan, restoran, gerai-gerai makan, penduduk kampung, dan taman, serta program-program kitar semula yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan lain-lain,” katanya.
Mohd Hazim menambah bahawa sejak mengusahakan perniagaan tersebut, ia juga membantu peniaga dan komuniti setempat menambah pendapatan dengan menjual minyak masak terpakai.
“Untuk proses pengumpulan minyak masak terpakai ini, langkah pertama adalah mengumpulkannya dengan membelinya daripada komuniti dan pihak terlibat sebelum disimpan di kilang. Dalam sebulan, kami mampu mengumpul antara 30 hingga 40 tan maksimum, dan kemudian akan menghantarnya kepada orang tengah, iaitu peraih yang akan mengeksport ke luar negara. Alhamdulillah, pendapatan kami amat memberangsangkan dan dapat menampung kos-kos yang berkaitan,” jelasnya, sambil memberitahu bahawa syarikatnya mempunyai lesen daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Katanya lagi, setiap pembelian minyak masak terpakai akan dikenakan harga berdasarkan harga pasaran, biasanya antara RM2 hingga RM3 per kilogram, bergantung kepada kuantiti.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Cairul Hisham Jalaluddin, berkata pihaknya juga aktif memberi kesedaran mengenai inisiatif pengumpulan minyak masak terpakai sejak tahun 2022 melalui program ‘Trash To Cash’ yang dilaksanakan di sekolah, komuniti setempat, dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).
“Sejak Januari hingga September lalu, kutipan minyak masak terpakai berdasarkan data yang diperoleh mencecah 13,819 kilogram (kg).
Pada peringkat awal, kutipan kami adalah sifar, tetapi selepas aktif menjalankan program tersebut, kami telah menunjukkan peningkatan ketara dalam bilangan kutipan,” katanya.
Beliau menambah bahawa program ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi merupakan inisiatif yang sangat menggalakkan untuk menarik lebih ramai rakyat mengamalkan kitar semula sambil memperoleh pendapatan sampingan.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menjadikan amalan kitar semula minyak masak terpakai sebagai langkah bijak dalam menguruskan sisa.
BACA: Bekas vokalis Nidji, Giring dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan Indonesia