Billionaire Jepun bina trek lumba peribadi depan rumah

Oleh SULAIMAN ABD RAHMAN

Seorang bilionair Jepun dilaporkan telah membelanjakan sekitar £160 juta (£1/RM5.97) untuk membina sebuah litar lumba peribadi di kawasan pergunungan di Jepun.

Gambar litar yang dikenali sebagai Magarigawa mula tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Namun, menurut LADBible, litar yang menghadap Gunung Fuji dan Teluk Jepun ini sebenarnya telah dibuka sejak tahun lepas, pada 29 Julai 2023.

Magarigawa merupakan litar lumba persendirian pertama di Asia dan mempunyai reka bentuk yang mirip dengan litar dalam siri permainan video simulator perlumbaan, Gran Turismo (GT).

Litar tersebut boleh dianggap sebagai kawasan riadah mewah yang direka khas oleh pereka litar terkenal, Tilke Engineers & Architects.

Billionaire Jepun bina trek lumba peribadi depan rumah

Pembinaannya mengambil masa kira-kira tiga tahun dan dilakukan oleh Maeda Corporation, syarikat yang sama yang pernah menghasilkan kajian kebolehlaksanaan untuk membina Grand Valley Speedway di dunia nyata.

Menariknya, litar sepanjang 2.17 batu ini mempunyai 22 selekoh dan laluan lurus sepanjang 800 meter dengan pemandangan indah Teluk Tokyo dan Gunung Fuji yang menakjubkan.

Walaupun ia dibina sebagai litar peribadi, akses turut dibuka kepada orang luar tetapi hanya terhad kepada ahli Kelab Magarigawa.

Mereka yang ingin menjadi ahli dikenakan bayaran sebanyak ¥36,000,000 (¥100/RM3.12) serta yuran tahunan sebanyak ¥220,000.

Magarigawa turut menyediakan 25 paddock khas termasuk penginapan dengan empat tempat letak kereta, sistem kawalan iklim, dan ruang penyelenggaraan kenderaan.

Ahli kelab juga boleh mendapatkan perkhidmatan mekanik yang bertugas di litar tersebut. Namun, kemudahan ini terhad kepada ahli kelab kategori high-tier sahaja.

Di peringkat awal, terdapat ahli yang sanggup membida sehingga ¥800 juta untuk mendapatkan akses ke kawasan-kawasan tersebut.

Selain itu, terdapat juga rumah kelab yang dilengkapi dengan kolam renang, mata air panas semula jadi, bar, gimnasium, bilik karaoke, ruang keluarga, dan ruang makan.

Menurut LADBible, litar ini dibina kerana bilionair tersebut mahukan sebuah kawasan lumba yang membenarkannya membawa isteri dan anak-anaknya ke trek.

BACA: Bask Bear ‘ejek’ depan-depan restoran McDonald Bukit Bintang tarik perhatian ramai