BN ‘dikhianati’ bakal jadi agenda penting mesyuarat MT Umno

BN ‘dikhianati’ bakal jadi agenda penting mesyuarat MT Umno

Keputusan UMNO sama ada kekal atau menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu di Janda Baik, Bentong hari ini.

Apa-apa keputusan akan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya episod Barisan Nasional (BN) ‘dicurangi’ parti gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Selain itu, isu pembunuhan karakter juga dipercayai akan mempengaruhi keputusan UMNO dalam menentukan kerjasama politik dengan PN.

Pensyarah Kanan Undang-Undang Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, apa-apapun keputusan, gabungan PN perlu melihat kepentingan umum atau konsep masalih al mursalah dalam membicarakan masa depan permuafakatan itu.

“Ini kerana dalam keadaan negara berdepan dengan peningkatan kes positif jangkitan Covid-19, tumpuan perlu kepada menjaga kebajikan rakyat dan kepentingan negara.

“Jadi, perlunya Rekonsiliasi Nasional (perdamaian parti-parti politik) dan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau diminta mengulas masa depan PN ekoran kemelut politik yang berlaku terutama kenyataan Biro Politik UMNO yang berkemungkinan menarik balik sokongan terhadap PN.

Mengulas lanjut, Wan Emril Nizam berkata, PN perlu mewujudkan lembaran baharu kerjasama dalam gabungan berkenaan termasuk menggubal dasar-dasar yang disepakati bersama.

Selain itu, katanya, PN perlu merangka piagam kerjasama rasmi supaya setiap keputusan dibuat berpandukan kepada panduan dan tatacara yang diputuskan secara konsensus.

“Ini penting bagi memastikan kestabilan politik dan proses pemulihan ekonomi dapat menjamin kelangsungan masa depan negara,” katanya. – UTUSAN

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2020/10/episod-bn-dicurangi-pengaruhi-mesyuarat-umno/