‘Bodoh kedekut betul kasi seringgit je’ – Pengemis mengeluh dengan hasil yang diterima

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Bersedekah adalah amalan yang telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita sejak sekian lama.

Ramai yang dengan ikhlas mengeluarkan sedikit wang mereka untuk membantu orang lain mengikut kemampuan masing-masing.

Namun, baru-baru ini seorang wanita berkongsi kisah mengejutkan tentang pengalaman yang mengubah pandangannya terhadap amalan bersedekah.

Wanita tersebut mengakui bahawa dia merasa terkejut dan kecewa apabila reaksi seorang pengemis di Temerloh, Pahang, tidak menghargai pemberiannya yang ikhlas.

Menurutnya, semasa melalui kawasan kaki lima sebuah bangunan, dia terlihat seorang lelaki yang sedang duduk dengan bekas untuk mengutip derma.

'Bodoh kedekut betul kasi seringgit je' - Pengemis mengeluh dengan hasil yang diterima

Wanita ini merasa kasihan dan memutuskan untuk memberi RM1 kepada pengemis tersebut, yang mengaku sebagai seorang mualaf.

Namun, setelah beberapa langkah berlalu, dia terdengar suara pengemis itu berkata, “Bodoh, kedekut betul bagi seringgit je.” Lebih mengecewakan, pengemis tersebut malah melemparkan semula RM1 yang diberikan ke dalam bekas.

Hati wanita tersebut hancur dan dia merasa sangat kecewa, kerana pemberian kecil itu tidak dihargai sama sekali. Rasa ikhlasnya hilang serta-merta, dan dia menyesal kerana bersedekah.

Kisah ini mendapat perhatian ramai netizen, dengan sebahagian besar memberikan sokongan dan kata semangat kepada wanita tersebut. Mereka menyarankan agar dia tidak berputus asa untuk terus berbuat baik, walaupun pengalaman tersebut menggores hatinya.

Sebilangan individu juga berkongsi pengalaman serupa, yang membuat mereka lebih berhati-hati dalam memilih saluran yang betul untuk bersedekah, seperti menyalurkan bantuan ke tabung masjid atau badan amal yang sah.

Walaupun pengalaman ini mengecewakan, ia memberi pengajaran tentang pentingnya ketulusan hati dalam berbuat baik, dan juga mengenai bagaimana sesetengah pihak mungkin tidak menghargai kebaikan yang diberikan.

Apa yang penting adalah niat kita yang ikhlas untuk membantu, tanpa mengharapkan balasan.

BACA: Ini sebab kenapa Bomba disebut ‘Bomba’ bukan pasukan pemadam api