Setiap kali kita berkunjung ke restoran terkenal untuk menikmati hidangan, kita mungkin terpaksa menghadapi isu seperti
kepadatan pelanggan dan waktu menunggu yang lama. Terutama pada waktu puncak seperti waktu makan tengah hari, menunggu meja kosong dalam restoran boleh menjadi satu cabaran.
Kadang-kadang kita terfikir, adakah ada restoran di dunia ini yang mempunyai tempat duduk tidak terhad dan boleh menampung ribuan pelanggan serentak?
Restoran Hotpot Pipa Yuan Shiweixian
Sebenarnya, restoran dengan kapasiti tidak terhad ini memang wujud dan terletak di Chongqing, China.
Restoran tersebut, dikenali sebagai Restoran Hotpot Pipa Yuan Shiweixian, mampu menampung seramai 5,851 pelanggan pada satu masa dan telah mencatatkan Rekod Dunia Guinness sebagai restoran terbesar dengan kapasiti tempat duduk melebihi 5,800 pada 26 Julai 2022.
Uniknya, restoran yang mempunyai keluasan 3,300 meter persegi ini dibina di atas sebuah bukit dan terkenal dengan masakan ‘hotpot’.
Keluasan Pipa Yuan, yang bermaksud ‘Taman Loquat’ dalam bahasa Cina, sangat besar sehingga pelanggan memerlukan masa sehingga 30 minit dari tempat letak kereta menuju ke meja makan.
Walaupun mempunyai kapasiti yang besar, pelanggan sering sukar mencari meja tanpa tempahan, terutama pada musim bunga dan musim panas disebabkan popularitinya.
Penduduk tempatan dari seluruh kawasan sanggup datang ke restoran ini semata-mata untuk merasai sendiri restoran periuk panas terbesar di dunia ini.
Pipa Yuan dianggarkan mampu menampung jumlah pelanggan yang setanding dengan sebuah daerah kecil dalam sehari.
Pasti ramai yang ingin tahu berapa banyak makanan yang dapat disediakan oleh restoran ini setiap hari. Tidak terbayang, bukan?
Berapa banyak pekerja restoran ini?
Pipa Yuan dilaporkan mempunyai ratusan pelayan, puluhan tukang masak, dan kakitangan dapur, serta lebih daripada 25 juruwang.
Waktu paling sibuk adalah pada waktu malam, kerana kawasan ini diterangi dengan panorama lampu warna-warni di seluruh lereng bukit.
Oleh itu, tidak menghairankan mengapa restoran ini sering menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Untuk rekod, restoran ini telah didokumentasikan dalam program “A Bite of China” pada tahun 2014.
BACA: Pemain bola sepak kantoi bawa balik perempuan lain, isteri halau keluar lepas periksa rakaman