Muhyiddin bukan contoh sesuai sebagai bapa

Muhyiddin bukan contoh sesuai sebagai bapa

Saya membaca dan bersetuju secara prinsipnya kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat bahawa seorang Perdana Menteri secara lazimnya patut di anggap umpama seorang Ayah. Kerana itulah agaknya PAS mencadangkan undi percaya kepada Tun Mahathir pada awal tahun ini semasa beliau masih Perdana Menteri, tetapi anehnya menukar pendirian apabila ‘ayah baru’ muncul pada akhir Februari 2020 dengan gula gula manis.

Walaupun secara prinsip saya bersetuju Perdana Menteri seumpama seorang ayah, tetapi dalam konteks, situasi dan cara Tan Sri Muhyiddin menubuhkan kerajaan baru melalui pintu belakang, watak seorang ayah tidak lagi sesuai di gunakan. Bolehkah “ketam mengajar anaknya berjalan lurus?” Itulah contoh jelek pertama yang diajar Muhyiddin kepada rakyat.

Implikasinya anak anaknya akan terus mencontohi ayahnya memasuki rumah orang melalui pintu tepi, pintu tingkap dan ada juga yang dicadangkan melalui menebuk atap rumah. Sebenarnya inilah yang telah pun berlaku selepas Muhyiddin memasuki Kerajaan Persekutuan di mana anak buahnya telah pun mencontohi tindakan awal beliau dan telah memasuki rumah kerajaan negeri Johor, Melaka dan Perak melalui pelbagai sudut penjuru sama ada pintu, tingkap atau bumbung.

Contoh buruk di tunjuk Muhyiddin telah di contohi anak buah nya tampa segan silu di mana mereka yang menghadapi tuduhan rogol dan rasuah juga di jemput masuk sama kerajaan negeri di mana matlamat menghalalkan cara. Walhal semasa Dato Najib menghadapi tuduhan rasuah dari berbagai negara di dunia, parti PAS sendiri melarang menukar Perdana Menteri dan Kerajaan sebelum habis penggalnya supaya beliau di beri peluang memperbaiki keadaan. Kenapa PAS kini mengubah pendirian ?

Muhyiddin bersama PAS, UMNO dan BERSATU sedia sedar Malaysia dan dunia menghadapi ancaman kritikal Covid 19 semasa mengambil alih kerajaan dan telah menukar juga menteri dan sruktur penting negara di tengah tengah krisis. Adakah ini tindakan seorang ayah yang bertanggungjawab atau seorang yang hanya mengikut nafsunya?

Mesyuarat COVID-19 awal pula tidak menjemput 5 ketua negeri pembangkang yang mempunyai 40% penduduk Malaysia (Negeri Sembilan, Kedah, Sabah, Pulau Pinang dan Selangor – Selangor jangkitan Covid tertinggi) . Adakah ini tindakan ayah yang bertangungjawab di saat ribuan rakyat di ancam wabak berbahaya tersebut?

Saya mohon Ketua Penerangan PAS merenung kembali saranan beliau bahawa Muhyiddin adalah seorang yang layak di anggap seorang ayah apabila banyak tindakkan beliau telah menganak- tirikan sebahagian besar rakyat Malaysia dalam waktu krisis wabak global yang mengancam Malaysia? Mungkin beliau layak di anggap sebagai ayah tiri dengan sikap drikriminisasi beliau terhadap sesetengah rakyat. Mungkin juga layak status sebagai ayah tiri kerana cara ayah asal kami yang di pilih rakyat secara sah melalui proses demokrasi PRU 14 di nyah secara tektik pintu belakang.

Muhyiddin melalui ucapan beliau sendiri mengakui beliau bukan Perdana Menteri yang di pilih oleh rakyat dan tiada negara utama dunia mengucapkan tahniah pada beliau. Rakyat tidak boleh di paksa untuk menerima Muhyiddin sepenuhnya sebagai ayah asal kami kerana beliau bukan hasil kandungan pilihan sah dari majoriti rakyat Malaysia. Kerana contoh yang buruk di tunjukkan oleh seorang ayah tiri, kepimpinan beliau adalah diibaratkan seperti ketam ingin mengajar anaknya berjalan lurus. Ada juga peribahasa Melayu yang mengatakan, “kalau ayah kencing berdiri, anak akan kencing belari!” Adakah kita ingin Negara kita menuju ke arah amalan sebegitu?

Dari sudut akhlak Islam dan juga adat Melayu, contoh sebagai seorang ayah tidaklah sesuai dalam situasi ini. Kerajaan Perikatan Nasional yang berteraskan konsep Melayu dan Islam patut memahami situasi sebenarnya. Matlamat tidak boleh menhalalkan cara dan Islam menuntut umat Islam memasuki rumah kerajaan melalui pintu hadapan dengan memberi salam dengan izin rakyat yang telah memilih kerajaan yang sah melalui PRU, dalam konteks kita mandat yang sah ialah dari PRU14.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
4 April 2020

Sumber :