Dikenali dengan nama Bijin-Hime, buah strawberi ini dikenali dengan reka bentuk dan warnanya yang sempurna.
Ia turut digelar ‘Puteri Cantik’, rasanya didakwa memberi kelainan lain dari yang lain.
Lapor Oddity Central, harga Bijin-Hime mampu mencecah sehingga AS$350 (RM1,586) sebiji, sekali gus menjadikannya antara buah paling mahal di dunia.
Mikio Okuda, adalah individu yang bertanggungjawab menghasilkan Bijin-Hime selain mempunyai pengalaman selama 45 tahun dalam bidang penanaman strawberi.
Beliau mengambil masa 15 tahun untuk menghasilkan strawberi Bijin-Hime yang sempurna setelah menempuh pelbagai kesusahan dan cabaran.
Jelasnya, dia menanam strawberi Bijin-Hime di rumah hijaunya yang terletak di Okuda Farms di Hashima, wilayah Gifu.
Strawberi ini juga ditanam dalam keadaan cuaca sejuk dengan pemantauan teliti suhu tanah dan udara di rumah hijau tersebut.
Buah ini juga antara varieti yang terkenal dan buah yang terbesar dikatakan sebesar saiz bola tenis dan mempunyai berat sekitar 100 gram.
“Tekstur strawberi Bijin-Hime dikatakan memberi keseimbangan sempurna antara lembut dan pejal.
“Warna merah terang yang berkilat juga mampu meresap hingga ke isi buah itu.
“Selain itu, Bijin-Hime tidak mempunyai rasa keasidan tinggi yang biasanya didapati pada varieti buah biasa dijual di pasar raya,” jelas laporan itu.