Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Brazil berjaya terselamat walaupun disengat oleh
kawanan lebah sebanyak kira-kira 1,100 kali, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa menemani bapa tirinya di sebuah ladang berhampiran bandar Sidrolandia, di negeri Mato Grosso do Sul
. Mangsa diserang oleh kawanan lebah dan segera dikejarkan ke hospital terdekat dalam keadaan koma sehingga 11 Disember yang lalu.
Bagaimanapun, mangsa menunjukkan perkembangan yang positif dan semakin pulih setiap hari,
manakala para doktor mula mencabut tiub oksigen dan peralatan sokongan lain. “Ini adalah satu keajaiban,” kata bapa mangsa, Celio Samuel.
Pakar toksikologi dari Pusat Pengawasan Toksikologi Bersepadu (Civitox), Sandro Benites, menekankan bahawa rawatan segera amat penting untuk memastikan mangsa dapat bertahan.
“Lebih daripada 100 sengatan boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak, sementara 500 sengatan boleh membawa maut kepada orang dewasa,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa penjagaan segera dan sokongan lanjut yang diberikan telah membantu kanak-kanak itu terselamat walaupun disengat lebah sebanyak 1,100 kali.