Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menyatakan bahawa pendekatan penyiasatan
Dan perisikan SPRM perlu diperkuatkan untuk mengesan aset yang dicuri oleh penjenayah rasuah.
Beliau menjelaskan bahawa operasi SPRM kini tidak hanya fokus kepada menangkap pesalah rasuah
Dan mendakwa mereka di mahkamah, tetapi juga kepada usaha membankrapkan mereka.
“Untuk tahun ini sahaja, kami telah berjaya mendapatkan semula RM1.3 bilion daripada jumlah aset penjenayah, dan wang tersebut dikembalikan kepada kerajaan
. Kami berharap semua agensi penguat kuasa akan berusaha tidak hanya untuk menangkap penjenayah dan mendakwa mereka di mahkamah, tetapi juga untuk merampas semula harta yang dicuri.
“Saya ingin membankrapkan mereka (penjenayah rasuah), dan ini diharapkan dapat menimbulkan rasa takut dalam kalangan mereka supaya mereka berfikir dua kali sebelum melakukan jenayah rasuah,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Azam menjelaskan bahawa peruntukan undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 membenarkan SPRM untuk merampas aset penjenayah dan mengembalikan hasil yang dicuri kepada kerajaan.
Beliau menambah bahawa usaha ini memerlukan pengetahuan dan kepakaran yang tinggi daripada pegawai penyiasat serta forensik.
“Bayangkan jika penjenayah rasuah meletakkan harta dalam proksi, siapa yang tahu? Oleh itu, pendekatan penyiasatan dan perisikan kita perlu mantap dan diperkuatkan.
“Sebelum kita menyiasat seseorang, kita perlu mengenal pasti aset yang telah dilupuskan dan disalurkan kepada mana-mana pihak agar kita dapat memastikan aset tersebut dikembalikan semula,” katanya.
Mengambil contoh kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Azam mengatakan bahawa usaha keras SPRM bersama agensi lain telah membuahkan hasil apabila RM29 bilion dipulangkan kepada kerajaan daripada kos prinsipal RM42 bilion.
Beliau juga memaklumkan bahawa SPRM telah mewujudkan pasukan petugas di agensi lain seperti Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan Polis Diraja Malaysia untuk berkongsi kepakaran dalam kes-kes sindiket.
Selain daripada penguatkuasaan, SPRM juga berperanan dalam pencegahan dan pendidikan masyarakat melalui media arus perdana serta kempen di media sosial.
“Penggunaan media sosial dioptimumkan selaras dengan kehendak masyarakat, contohnya program debat secara penstriman langsung yang membolehkan masyarakat menyaksikannya,” katanya.
Azam menjelaskan bahawa pendidikan kepada masyarakat dilakukan dari peringkat rendah hingga universiti, contohnya melalui Angkatan Mahasiswa Antirasuah yang dimulakan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Katanya, fokus SPRM kini lebih tertumpu kepada ketirisan berbanding 10 tahun lalu, yang mana pada waktu itu mereka menangani kes walaupun sekecil-kecilnya.
Beliau menambah bahawa kategori jenayah rasuah kini lebih tertumpu kepada pemberian dan penerimaan suapan, rasuah dalam perolehan yang menyebabkan ketirisan besar, serta rasuah berskala besar.
Walaupun kategori kes rasuah tidak banyak berubah, Azam menyatakan bahawa jumlah kes yang terlibat semakin meningkat kerana ia berkaitan dengan ekonomi negara.
Ditanya tentang negara luar yang boleh dijadikan contoh, beliau berkata selain Hong Kong, SPRM juga mempelajari amalan daripada negara lain, termasuk Qatar yang menggunakan sistem digital sepenuhnya untuk pembayaran kompaun trafik, yang sekaligus mengurangkan gejala rasuah.
Beliau mencadangkan agar sistem perkhidmatan kerajaan diperbaiki dengan digitalisasi untuk mengelakkan rakyat daripada beratur panjang, seperti penggunaan cap jari untuk menukar hak milik.
“SPRM ditubuhkan pada tahun 1967, jadi kami (SPRM) sudah berusia 57 tahun. Banyak negara ingin belajar daripada kami walaupun ada yang menafikan peranan SPRM dalam arena antarabangsa. Contohnya, delegasi Uzbekistan yang baru menubuhkan agensi antirasuah pada tahun 2020, datang untuk berurusan dengan SPRM.
“Agensi berkaitan perlu mencari jalan untuk memudahkan urusan rakyat, sebagai sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan rakyat yang akan memberikan sistem penyampaian yang lebih baik dan cepat serta mengelakkan peluang rasuah,” katanya.