Bukti Pas hanya parti politik biasa sahaja

Bukti Pas hanya parti politik biasa sahaja

Ramai juga yang persoalkan idealisme Pas mahu mewujudkan kerajaan teknokrat apabila berkuasa. Kerajaan dianggotai bersama oleh tokoh-tokoh bukan politik, iaitu pakar-pakar dalam pelbagai bidang. Pas juga tidak bersetuju ahli politik menerajui GLC dan badan berkanun; mungkin untuk memastikan pengurusan yang profesional dan telus.

Sekarang, selepas mengaku sebagai perancang penting kerajaan pintu belakang, dan diberikan jawatan kabinet yang tidak setimpal, hanya 3 kementerian, dan tiada satu pun bertaraf menteri kanan, Setiausaha Agung Pas memaklumkan bahawa semua ahli parlimennya (seramai sepuluh orang) yang tidak diberikan jawatan menteri dan timbalan menteri akan dilantik menerajui GLC.

Bagi saya, ini tentunya tidak pelik. Politik (kuasa) tidak dapat dipisahkan malah tidak boleh bercerai-tanggal dengan imbuhan ekonomi. Soal impian atau idealisme Pas ketika berkempen atau semasa menjadi pembangkang adalah perkara masa lampau. Ia langsung tidak nengikat Pas. Ia juga membuktikan Pas adalah sebuah parti politik biasa, yang mengejar keuntungan dan laba untuk pemimpinnya, atau pasti tidak melepaskan peluang yang muncul semasa berada di puncak kuasa.

Kita baru sahaja melepasi bulan pertama Pas menjadi komponen penting Perikatan Nasional. Kita bakal menyaksikan lebih banyak lagi babak-babak yang akan bercanggah dengan sikap politik Pas dahulu. Termasuk bertolak-ansur dengan polisi dan program kerajaan PN, juga sesekali mendukung kuat dan mempertahankan pemerintah atas dalil agama. Usah terkejut. Pas hanyalah parti politik biasa yang bersaing untuk meraih kuasa. Jangan pula kita hamburkan balik tohmahan jelik mereka dulu, seperti janji hancing dsb.

Yang pasti budaya takfiri atau faham ekstremisme tidak akan heboh lagi seperti dulu. Tak pasti berapa lama dapat bertahan, selagi mana menguntungkan politik Pas. Harapnya sampai PRU15.

Sepertimana sanjungannya terhadap Mahathir Mohamad, terburai apabila muncul kesempatan untuk membentuk kerajaan tebuk atap.

Pendirian dan dalil Pas juga boleh berubah-ubah. Dulu menentang pelantikan politik untuk mengetuai GLC. Dulu tidak bersetuju dengan perisytiharan harta. Dan Pas juga boleh menerima keperluan untuk berbohong jika dilihat situasi memerlukan berbuat demikian.

Ya… berilah peluang Pas untuk belajar berkongsi kuasa dengan rakan-rakan Umno, Bersatu, MCA, MIC, GPS. Tunggulah perubahan-perubahan terutama bersifat Islami dalam pentadbiran negara, sambil menanti isu-isu yang pernah dibangkitnya seperti kematian Adib, sekolah vernakular, struktur cukai, dll…
Anggota Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional lebih 90 peratus Muslim, satu impian Pas yang terlaksana secara tiba- tiba.

Mungkin bagi Pas ia satu anugerah Tuhan, tanpa perlu bersinsing lengan atau bertungkus lumus berkempen dalam pilihan raya. Pedulikan label kerajaan pintu belakang atau kerajaan tebuk atap.

Usah pedulikan protes bukan Islam, mereka tidak boleh pengaruhi atau kacau pentadbiran kerajaan. “Kita jentik saja, senyaplah depa”.

Sumber :