Bunuh suami simbah asid, isteri termasuk tujuh lagi direman

Bunuh suami simbah asid, isteri termasuk tujuh lagi direman

Isteri kepada seorang lelaki yang meninggal dunia dipercayai akibat disimbah asid dalam kejadian pada 3.31 pagi Sabtu lepas di Taman Pulai Impian, Sikamat direman bagi membantu siasatan kes.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim dalam kenyataan di sini, hari ini berkata selain wanita berkenaan, turut direman ialah enam lelaki.

“Kesemua tujuh suspek berumur 15 hingga 41 tahun itu yang ditahan menerusi beberapa siri tangkapan, direman hingga Selasa depan (2 Feb),” katanya.

Mohd Said berkata polis menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada 23 Jan lepas dan siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 43 tahun itu mengalami 30 peratus kecederaan akibat melecur disimbah cecair dipercayai asid.

Bagaimanapun, mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban disahkan meninggal dunia pada 11 malam, semalam.

Mohd Said berkata kes diklasifikasi sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MK